Mohd Sukuran ketika melancarkan secara simbolik BEST di Wisma Perbadanan Labuan pada Sabtu.
LABUAN: Program Bersih Setiap Tempat (BEST) anjuran Perbadanan Labuan merupakan inisiatif kempen kebersihan untuk menjadikan Labuan sebagai sebuah pulau yang bersih dan selamat untuk didiami.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran
Taib berkata, inisiatif yang dilaksanakan ini tentunya dapat memberikan imej baharu bahawa Labuan sebuah pulau yang bersih dan selamat untuk didiami.
Usaha ini katanya, bukan sahaja dapat meyakinkan pelancong untuk terus datang ke Labuan tetapi juga menyemarakkan industri pelancongan yang melibatkan pantai yang sentiasa bersih dan makanan yang selamat.
‘ Sudah tentu kempen ini memberi satu imej yang positif yang memberi satu pandangan bahawa Labuan sebuah pulau yang bersih dan pada masa sama, kita dapat menyemarakkan lagi industri-industri pelancongan yang melibatkan pantai kita, makanan kita dan sebab itu kita anjurkan kempen BEST ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran BEST di Wisma Perbadanan Labuan, Sabtu lalu.
Senentara itu, sebanyak 40 lokasi di seluruh Labuan terlibat dalam menjayakan program Bersih Setiap Tempat (BEST), meliputi 27 buah kampung dan kawasan sasaran di sekitar bandar.
Antara kawasan sasaran disekitar bandar termasuklah, kawasan Lapangan Terbang Labuan, Terminal Feri Antarabangsa Labuan, Medan Selera, Dataran Labuan, Taman Burung Labuan serta taman taman mini di sekitar pusat bandar.
Kempen yang dijalankan serentak di peringkat kampung dan kawasan bandar ini melibatkan penduduk setempat, pemimpin masyarakat, kakitangan kerajaan, swasta serta sukarelawan belia dan badan bukan kerajaan (NGO).
Penganjuran kempen BEST ini juga adalah bersempena penganjuran Borneo Flora Festival (BFF) yang akan berlangsung pada 26 Julai ini.
Program BEST diilhamkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.



