ADVERTISEMENTspot_img

PRN Sabah: BN putuskan kerjasama eksklusif dengan PH, tolak GRS

Ahmad Zahid (tengah) ketika sidang media selepas mesyuarat Biro Politik UMNO Sabah di Kota Kinabalu, malam tadi. – Foto: UMNO Sabah

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) dan UMNO Sabah menegaskan keputusan muktamad untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), sebaliknya hanya akan berganding dengan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti hasil perbincangan tiga pihak sebelum ini dan disahkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO Sabah, malam tadi.

“Setelah meneliti semua fakta dan butiran daripada perbincangan, saya menyampaikan keputusan kepimpinan UMNO bahawa kami mengekalkan kerjasama BN-PH. Namun, BN Sabah dan UMNO Sabah memutuskan secara muktamad bahawa tidak akan ada kerjasama dengan GRS,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Ahmad Zahid hadir pada mesyuarat itu bagi memaklumkan mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta pemimpin GRS sebelum ini. Menurutnya, pertemuan itu berlangsung di Putrajaya dengan Anwar selaku Pengerusi Kerajaan Perpaduan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, bersama pimpinan GRS, PH dan UMNO.

Dalam pertemuan tersebut, katanya, Perdana Menteri menekankan keperluan mengelakkan pertandingan tiga penjuru atau pertindihan kerusi, lalu dipersetujui pembentukan jawatankuasa teknikal melibatkan GRS, BN dan PH untuk siri rundingan lanjut di Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan keputusan itu tepat dan dialu-alukan kepimpinan BN negeri.

“Insya-Allah, kami akan menggerakkan seluruh jentera bagi memastikan calon BN memenangi kerusi ditandingi pada PRN Sabah nanti. Kami yakin dengan kekuatan struktur parti yang kukuh, UMNO-BN berupaya kembali menjadi parti dominan selepas pilihan raya,” katanya.

Beliau menjelaskan, keputusan menolak kerjasama dengan GRS berpunca daripada beberapa faktor, termasuk isu pertindihan kerusi serta kegagalan GRS melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan.

Bung Moktar menambah, rundingan agihan kerusi bersama PH akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dengan BN dijangka menguasai lebih separuh daripada 73 kerusi yang dipertandingkan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN