ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Negeri Terus Perkasa Pendidikan, TVET dan AI Bangunkan Modal Insan

Hajiji ( tengah ) ketika menerima Anugerah Tokoh Kemakmuran Pendidikan Negeri Sabah.

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan kepada agenda pembangunan pendidikan menerusi pemerkasaan modal insan, peluasan bantuan pendidikan serta pengukuhan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta literasi kecerdasan buatan (AI).


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, usaha itu penting bagi memastikan setiap anak Sabah mendapat peluang pendidikan terbaik tanpa mengira kaum dan latar belakang, sekali gus melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing.


“Pembangunan modal insan akan terus diperkasa sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan memperkukuhkan masa depan Sabah.


“Bidang kemahiran dan pembangunan belia akan terus diberi perhatian melalui peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan. Pemerkasaan TVET, pengukuhan STEM, latihan pertanian serta teknologi digital dengan penekanan terhadap literasi AI antara bidang yang turut menjadi keutamaan kerajaan negeri,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Kali Keempat Tahun 2026 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) di sini, pada Khamis.


Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha memperkasakan pendidikan melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik bersama JPNS serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pembinaan dan naik taraf sekolah, penyediaan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), program motivasi murid luar bandar, bantuan biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan serta pelbagai intervensi pendidikan bagi meningkatkan pencapaian akademik dan sahsiah pelajar,” ujarnya. 


Beliau berkata, kerajaan negeri juga meneruskan pelbagai bantuan pendidikan termasuk biasiswa dan dermasiswa serta 14 inisiatif bantuan pendidikan sedia ada.


“Antara bantuan yang disediakan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer, Bantuan Khas Tunai Peperiksaan, Bantuan TiketPenerbangan Pelajar Sabah dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA). 


“Selain itu, Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) turut menawarkan bantuan pendidikan yang boleh dimanfaatkan rakyat,” jelasnya.


Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidikan atas pencapaian memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.


“Peningkatan prestasi berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) daripada 5.00 pada 2024 kepada 4.85 pada 2025 membuktikan komitmen tinggi dan usaha gigih warga pendidik dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan di Sabah.


“Pencapaian ini adalah hasil kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan seluruh pihak yang terlibat dalam sistem pendidikan. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melonjakkan kecemerlangan pendidikan negeri Sabah pada masa hadapan,” tambahnya lagi. 


Beliau turut menegaskan bahawa guru merupakan tonggak utama pembangunan negara kerana bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk akhlak dan nilai murni dalam kalangan generasi muda.


Dalam majlis itu, Hajiji turut menyampaikan anugerah kepada 33 guru di peringkat negeri Sabah menerusi lima kategori iaitu Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Guru Berwibawa, Anugerah Guru Ikon, Anugerah Khas Pendidikan dan Anugerah Utama.


Hadir sama, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Negeri, Datuk Mohd Razali Wahab dan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN