Rithuan (tiga dari kanan) bersama dif dif jemputan melepaskan para peserta di perkarangan balai raya Kampung Pantai, kelmarin.
LABUAN: Seramai 40 peserta bakal mempamerkan aksi masing masing pada Labuan Super Novice 4X4 Challenge 2026 anjuran Kelab Pacuan Empat Roda Labuan (LFWDC).
Timbalan Pengerusi kelab itu, Norazili Timpai berkata, penganjuran yang turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Labuan dan beberapa agensi kerajaan akan berlangsung di Trik Lasak Kiamsam bermula hari ini hingga Ahad.
Katanya, 40 peserta yang menyertai cabaran edisi kedua ini melibatkan penyertaan dari Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Antara peserta yang akan memberikan cabaran kali ini ialah Juara 9th Kaamatan Challenge 4X4 Penampang, Kamarulazhar Abdul Lahin dari Sabah.
“Selain itu kita juga akan menyaksikan dua peserta wanita dari Sabah yang tidak asing lagi dalam cabaran 4X4 iaitu Jovi Yih dan Caroline Maurice”, katanya pada majlis Perlepasan (flagoff) yang diadakan di perkarangan balai raya Kampung Pantai, di sini kelmarin.
Majlis perlepasan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.
Norazili berkata, para peserta akan mengharungi sebanyak tujuh Special Stage (SS) yang melibatkan halangan dan cabaran yang berbeza.
“Kesemua peserta perlu menghabiskan setiap cabaran untuk mendapatkan markah bagi merebut kejuaraan kejohanan pada kali ini”, katanya.
Terdahulu Rithuan ketika berucap pad majlis itu berkata, pihaknya akan terus memberikan sokongan termasuk menjadikan acara Labuan Super Novice 4X4 Challenge ini sebagai sukan pelancongan yang berimpak tinggi untuk di masukkan dalam kalendar pelancongan Perbadanan Labuan.
Juara bakal menerima hadiah wang tunai RM3, 000 serta barangan 4X4, manakala naib juara dan tempat ketiga masing masing menerima hadiah wang tunai RM2, 000 dan RM1, 500 serta barangan 4X4.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah dijangka akan disempurnakan oleh Penaung Kelab Pacuan Empat Roda Labuan, Datuk Mohd Rafi Datuk Alli Hassan.



