Rafie merakamkan kenangan bersama pemenang dan ahli-ahli Persatuan Pelancongan Dan Kebudayaan Keningau pada majlis itu.
KENINGAU: Persatuan Pelancongan Dan Kebudayaan (PPDK) Keningau mengadakan pelbagai pertandingan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang lalu bagi terus mengaktifkan industri pelancongan di daerah ini.
Pelbagai kategori telah dipertandingkan dan hadiah kepada pemenang telah disampaikan pada Majlis Jamuan Akhir Tahun Persatuan Pelancongan Dan Kebudayaan Keningau 2021 yang diadakan di Taman Bandukan Riverside Resort, di sini pada Rabu.
Presiden Persatuan Pelancongan Dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert berkata, walaupun dalam pelaksanaan PKP iaitu dalam usaha mengekang penularan COVID-19, persatuan telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan aktiviti dikalangan pengusaha pelancongan sebagai rangsangan untuk terus mempromosikan produk pelancongan mereka.
“Ketika pelaksanaan PKP 2.0 yang lalu, pengusaha produk pelancongan antara yang terkesan apabila kawalan pergerakan dilaksanakan.
“Oleh itu, pihak persatuan mengambil inisiatif untuk menganjurkan aktiviti dikalangan pengusaha sebagai rangsangan kepada mereka untuk terus mempromosikan produk mereka kepada masyarakat luar dengan harapan industri pelancongan akan pulih semula.
“Usaha ini sebagai memberi sokongan kepada komuniti pelancongan dan menghargai usaha mereka demi membangunkan industri pelancongan tempatan.
“Saya juga berharap agar pelbagai agensi kerajaan dapat tampil untuk memberi bantuan kepada mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Pada pertandingan itu, pemenang berdasarkan undian awam ialah The Duo dengan memenangi Anugerah Facebook Page Like Terbanyak bagi kategori 1500 tanda Suka, Kelerai Kraftangan Batu Lunguyan memenangi Anugerah Facebook Page Like Terbanyak bagi Kategori 3000 tanda Suka, Taman Pelancongan Dan Tagal Komuniti Kampung Rantai Apin-Apin, Keningau memenangi Anugerah Facebook Page Like Terbanyak bagi kategori 6000 tanda Suka.
Manakala, Cralls Bougainvillea memenangi Anugerah Infografik Pengenalan Produk paling Popular, Anugerah Infografik Pelan Lokasi Paling Popular dan Anugerah Video Promosi Paling Popular.
Manakala bagi pemenang berdasarkan undian juri ialah, Bukit Dongguan memenangi Anugerah Infografik Pengenalan Produk Terbaik, Taman Pelancongan Dan Tagal Komuniti Kampung Rantai Apin-Apin memenangi Anugerah Video Promosi Terbaik dan Cralls Bougainvillea memenangi Anugerah Infografik Pengenalan Produk Terbaik dan Anugerah Facebook Page Terbaik.