GAMBAR KENANGAN….Kumpulan pertama pelajar Program Asasi Teknologi Kejuruteraan bagi Sesi I: 2025/2026
SANDAKAN – Politeknik Sandakan Sabah (PSS) dengan bangganya menyambut kumpulan pertama pelajar Program Asasi Teknologi Kejuruteraan bagi Sesi I: 2025/2026, di sini pada Isnin.
Pengarah Politeknik Sandakan, Mohd Sahran @ Awang bin Mohidin, berkata peristiwa ini mencatat sejarah penting sebagai pengambilan sulung program asasi yang ditawarkan di Sabah.
Belia berkata, Program Asasi Teknologi Kejuruteraan ini merupakan satu-satunya program asasi Politeknik yang ditawarkan di Sabah, mencerminkan komitmen PSS dalam menyediakan laluan pendidikan yang inovatif dan relevan bagi pelajar di rantau ini.
“Kami sangat teruja mengalu-alukan kumpulan perintis ini ke Politeknik Sandakan Sabah
“Pengambilan pertama Program Asasi Teknologi Kejuruteraan bukan sahaja membuka peluang baharu kepada anak muda di Sabah untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan, malah turut mengukuhkan peranan Politeknik Sandakan Sabah sebagai pusat kecemerlangan pendidikan teknikal di Sabah,” katanya kepada media.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, merangkap Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Riam A/P Chau Mai, turut menyatakan harapan beliau terhadap kejayaan program ini.
“Saya berharap pelaksanaan Program Asasi Teknologi Kejuruteraan di Politeknik Sandakan Sabah akan menjadi titik tolak kepada usaha memperluas akses pendidikan teknikal berkualiti di Sabah
“Program ini merupakan program persediaan selama satu tahun yang memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke universiti di bawah Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Johor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
“Saya yakin program ini akan melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Sabah dan negara secara keseluruhan,” kata Dr. Riam



