ADVERTISEMENTspot_img

Politeknik Sandakan Sabah perkukuh jaringan penyelidikan global menerusi INNOFEST 2026

Kiri …Dr Rafiqoh dan Mohd Sahran

SANDAKAN: Politeknik Sandakan Sabah (PSS) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang komited dalam memperkasa budaya penyelidikan, inovasi serta pengantarabangsaan menerusi penganjuran International Innovation Festival (INNOFEST) 2026.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 1 Julai itu dianjurkan dengan kerjasama strategik Politeknik Negeri Nunukan (PNN), Indonesia dan Kelab Sukan dan Rekreasi (KSKR).

Festival berkenaan mencatat penyertaan memberangsangkan apabila menghimpunkan peserta dari Malaysia, China, Indonesia, Brunei Darussalam, Filipina dan United Kingdom bagi pertandingan inovasi serta pembentangan kertas penyelidikan, sekali gus mengukuhkan peranan PSS sebagai platform penghubung komuniti penyelidikan di peringkat antarabangsa.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shahiza Ahmad Zainuddin, berkata tema “Inventing Tomorrow: Sustainable Solutions Through Ingenuity” mencerminkan aspirasi bersama dalam membangunkan penyelesaian inovatif dan lestari bagi menangani cabaran semasa serta masa depan yang melibatkan masyarakat, industri dan alam sekitar.

Beliau berkata inovasi dan kelestarian perlu bergerak seiring dalam era perkembangan teknologi yang pesat sebagai asas kepada pembangunan masa depan yang mampan dan berdaya tahan.

Menurut beliau, kejayaan PSS menganjurkan festival bertaraf antarabangsa itu bukan sahaja membuktikan keupayaan institusi berkenaan, malah memperkukuh jaringan kolaborasi penyelidikan di peringkat global menerusi penyertaan pelbagai negara.

Pada majlis berkenaan, Anugerah Inovasi Terbaik Keseluruhan dimenangi projek bertajuk “A Precast U-Shaped Drainage Concrete Incorporating Bacillus Subtilis and Method of Fabrication Thereof” hasil penyelidikan Affidah Mardziah Mukhtar bersama Prof. Ir. Dr. Julie Juliwatty Mohamed.

Sementara itu, PSS turut mencatat pencapaian cemerlang apabila meraih lima pingat emas, tiga pingat perak dan empat pingat gangsa merentasi empat kategori yang dipertandingkan.

Pencapaian itu mencerminkan keupayaan warga PSS menghasilkan inovasi yang kreatif, relevan dan berkualiti, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju kecemerlangan inovasi dalam ekosistem TVET negara.

INNOFEST 2026 bukan sekadar menjadi platform pembentangan penyelidikan, malah berfungsi sebagai medan memperluas kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, penyelidik dan pengamal industri di peringkat antarabangsa, selaras dengan usaha memperkasakan ekosistem penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan negara.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN