ADVERTISEMENTspot_img

Polis Tumpas Pengedar Ketamin di Penampang, Rampas Dadah Bernilai Lebih RM8,000

DITAHAN..Suspek (bertanda X)

PENAMPANG: Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan serta merampas dadah jenis ketamin di daerah ini dalam satu operasi awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata suspek berusia 29 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek membawa kepada penemuan 19 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki ketamin dengan anggaran berat keseluruhan 54.62 gram.


“Nilai rampasan dadah tersebut dianggarkan sekitar RM8,193 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut mendapati lelaki itu positif dadah jenis ketamin dan tetrahydrocannabinol (THC).

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup (tidak kurang 30 tahun) serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah, yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Sammy berkata polis menasihatkan masyarakat supaya tidak terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kegiatan pengedaran dadah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN