26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, November 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PGRS Moyog kecam retorik perkauman Dr Chong Eng Leong, anggap taktik nenakut-nakutkan pengundi

Petrus



KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Moyog tampil mengecam kenyataan Dr Chong Eng Leong daripada Parti Warisan yang didakwa menyemai ketegangan perkauman menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17.

Naib Ketua Bahagian PGRS Moyog, Petrus Datuk Conrad Mojuntin, berkata kenyataan Dr Chong yang menggambarkan pilihan raya sebagai “soal hidup dan mati” bagi komuniti Kadazan-Dusun-Murut-Rungus (KDMR) merupakan naratif berbahaya dan tidak bertanggungjawab.

“Mengaitkan pilihan raya dengan ancaman terhadap kelangsungan etnik adalah taktik menakut-nakutkan. Sabah telah lama membuktikan kekuatannya terletak pada perpaduan merentasi etnik, bukan perpecahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau turut menyelar dakwaan Dr Chong bahawa perkahwinan campur dan peningkatan warga ‘projek IC’ bakal menghakis kuasa politik KDMR, dengan menyifatkannya sebagai pandangan ketinggalan zaman serta bercanggah dengan realiti masyarakat majmuk Sabah.

“Ramai tokoh KDMR yang berjaya lahir daripada keluarga pelbagai etnik. Adakah mereka kurang ‘KDMR’ hanya kerana perkahwinan campur? Sudah tentu tidak,” tegasnya.


Mengulas isu Projek IC, Petrus berkata masalah itu perlu diselesaikan melalui pendekatan undang-undang, bukan propaganda perkauman, sambil menggesa pelaksanaan penuh cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) 2012-2013 serta pengukuhan penguatkuasaan imigresen.

Beliau turut mengingatkan bahawa sejarah politik Sabah membuktikan perpecahan sesama bumiputera hanya menguntungkan parti luar, manakala penyatuan parti-parti tempatan, seperti era PBS di bawah kepimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, memberi Sabah suara lebih kukuh.

“Tan Sri Pairin sendiri tidak pernah mengamalkan eksklusivisme etnik, sebaliknya menyeru perpaduan sebagai asas perjuangan,” katanya.

Petrus menegaskan bahawa isu utama rakyat Sabah kini bukan retorik identiti, tetapi kemiskinan luar bandar, pembangunan infrastruktur, hak MA63 dan agihan royalti petroleum yang adil.

“Kuasa politik sebenar datang daripada pendidikan, pembangunan ekonomi dan kepimpinan berintegriti, bukan ketakutan terhadap perkahwinan campur

“Sabah adalah untuk semua rakyat Sabah. Itulah kekuatan kita yang sebenar.” tegasnya.

Kenyataan Dr Chong sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila beliau mendakwa kegagalan KDMR untuk bersatu akan membuka jalan kepada “kehancuran kuasa politik mereka sendiri”, serta memberi amaran bahawa komuniti tersebut hanya akan tinggal sebagai “hiasan budaya” jika perkahwinan campur dan peningkatan warga projek IC tidak dibendung.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN