Nelly (tiga dari kanan) menyerahkan pek sumbangan Aidilfitri kepada wakil rumah Putatan dan Papar (tengah) sebagai tanda meraikan kegembiraan musim perayaan bersama.
KOTA KINABALU : Program Memacu Kehidupan anjuran Yayasan PETRONASmenyalurkan sumbangan Aidilfitri berupa pek makanan kepada 300 isi rumah di seluruh Sabah.
Sejumlah 120 pek makanan diagihkan masing-masing kepada penerima di Putatan dan Papar, 60 pek kepada penduduk di Tenom manakala baki sumbangan akan diagihkan secara berperingkat sepanjang bulan Ramadan oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah.
Setiap pek mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, teh serta kuih-muih perayaan bagi membantu penerima membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Nelly Shariah Francis dalam Majlis Iftar PETRONAS Sabah yang diadakan, pada Khamis.
Sumbangan itu merupakan sebahagian usaha memperbaiki kesejahteraan komuniti, menyokong pendidikan, menjaga kelestarian alam sekitar serta mengukuhkan daya tahan masyarakat di seluruh Sabah.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, Naib Presiden Kanan PETRONAS Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Ir (Dr) Bacho Pilong serta Pengurus Besar Pejabat PETRONAS Wilayah Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab./Penerangan–



