ADVERTISEMENTspot_img

PERTISA BUKA LEMBARAN BAHARU: PERLUAS PELUANG ARTIS SABAH MELANGKAUI MUZIK.


KOTA KINABALU: Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA) melakar hala tuju baharu bagi sesi 2026-2028 dengan visi yang lebih jelas dan tersusun melalui perancangan strategik bagi tempoh 2026 hingga 2028.


Kepimpinan baharu di bawah Presiden Guadik Ansiw @ Adex membawa semangat baharu untuk memperkasa industri seni tempatan Sabah agar lebih mampan, berdaya saing dan memberi manfaat menyeluruh kepada ahli serta masyarakat.


Dalam tempoh tiga tahun akan datang, PERTISA memberi fokus kepada usaha memperluas peluang ekonomi ahli seni dengan tidak hanya bergantung kepada bidang muzik dan hiburan.


Antara sektor yang diberi perhatian ialah pelancongan, pertanian serta industri kreatif lain yang berpotensi meningkatkan taraf ekonomi penggiat seni tempatan Sabah.


Dari sudut jaringan industri, PERTISA akan memperkukuhkan hubungan strategik dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan organisasi seni bagi membuka lebih banyak peluang promosi, kemudahan serta kerjasama dalam bidang hiburan dan kreatif.


Adex berkata, usaha ini penting bagi memastikan artis tempatan Sabah mendapat ruang yang lebih luas di peringkat lebih tinggi.


“Dalam masa yang sama. kebajikan ahli tetap menjadi keutamaan utama persatuan. PERTISA komited untuk memastikan setiap ahli mendapat sokongan dari segi pembangunan kerjaya, peluang jaringan industri serta bantuan yang sewajarnya dalam menghadapi cabaran dunia seni yang semakin mencabar,” katanya.


Beliau turut menyeru kepada semua penggiat seni tempatan Sabah yang masih belum berdaftar atau belum menyertai mana-mana persatuan seni agar bersama-sama menyertai keluarga besar PERTISA.


Penyatuan ini, katanya, penting dalam memperkukuhkan suara seni tempatan serta membuka lebih banyak peluang dalam industri seni dan hiburan.


“Bersama kita lebih kuat. Dengan satu matlamat dan satu keluarga, kita mampu membawa seni Sabah ke tahap yang lebih tinggi,” demikian antara hasrat yang ditekankan oleh Adex sebagai peneraju kepimpinan baharu persatuan.


Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PERTISA yang berlangsung dengan jayanya pada 11 April 2026 bertempat di Dinamik Borneo, Tamparuli, yang menyaksikan perhimpunan ahli lama dan baru serta pemilihan barisan kepimpinan baharu persatuan bagi sesi 20262028.


Mereka terdiri daripada Adex sebagai Presiden, Timbalan Presiden, James Sami, Setiausaha, Clarice F.E Sipanul, Timbalan Setiausaha, Jovita Robert Johnny, Bendahari, Mohammed Yassin Bin Sarakawi @ Emjey, Naib Presiden 1, Ronney G Sigoh (Pentadbiran), Naib Presiden II, Dr. Ts Lanree Asing (Kewangan), Naib Presiden III, Norlina Datuk Hj Light @ DJ Selina (Keahlian) dan Naib Presiden IV, Clarice John Matha (Aktiviti) serta Ahli Jawatankuasa Encik Daniel Bansatan, Justinus Asong, Donny Reyn, Sylviana Viana Saiki @ Vie dan Jalius Bongul.


Menurut Adex, dengan gabungan kepimpinan baharu, semangat kolektif serta visi yang jelas, PERTISA optimis untuk terus menjadi platform utama dalam memperjuangkan nasib dan masa depan penggiat seni tempatan Sabah.


“Persatuan ini bukan sahaja berperanan dalam memartabatkan seni, malah turut menjadi wadah dalam memperkukuhkan ekonomi dan kesejahteraan ahlinya,” jelas belliau.

PIX: Gabungan kepimpinan baharu PERTISA bersama Presidennya Adex selepas mesyuarat itu

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN