Oleh: Prof. Madya Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul,
1
Pagi kelmarin, 24 Jun 2024 (Isnin), tular video menunjukkan berlaku runtuhan di Gunung Kinabalu.
Ramai yang cemas, sampai saya dapat mesej bertalu-talu. Terutama dari kawan-kawan di luar Sabah. Maklumlah, saya ini anak jati Kundasang. Baru minggu lepas, saya balik kampung.
Macam-macam pertanyaan. Adakah bencana ini melibatkan perkampungan dan kemalangan jiwa? Betulkah selamat mau berkunjung ke Kundasang sekarang? Perlukah saya batalkan tempahan tour naik gunung?
Achik-achik semua, tarik nafas panjang-panjang. Kemudian hembus perlahan-lahan. Jangan panik, jangan gempar tidak menentu. Situasi masih terkawal. Kekal bertenang semua ya.
2
Video itu diambil dari arah sekitar Mesilou, Kundasang. Lokasi runtuhan itu berada sangat jauh dari petempatan, dan tiada sebarang aktiviti manusia pun di kawasan tersebut.
Kalau mau mendaki, itu bermula dari Taman Kinabalu menuju ke arah Panalaban. Ini segmen gunung yang terletak beberapa kilometer jauhnya ke arah barat, dari tempat kejadian.
Kenapa runtuhan itu berlaku? Ada yang buat spekulasi kejadian gempabumi. Tapi sebenarnya tidak. Menurut rekod rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia, tiada sebarang gegaran dicerap di kawasan berdekatan semasa hari kejadian, pagi 24 Jun 2024.
Gempa bumi sederhana (magnitud 5.7) ada berlaku di Kepulauan Tanimbar, Indonesia pada jam 5:55 petang, 24 Jun 2024. Tapi gempa ini cuma terjadi selepas runtuhan.
Sebelum runtuhan, satu lagi gempa sederhana (magnitud 5.1) telah dikesan di Taiwan pada jam 10:27 malam, 23 Jun 2024. Tapi impak kedua-dua gempa ini, tidak mungkin boleh terasa sampai ke Kundasang. Tiada kaitan.

Ramzah Dambul
3
Apa sebenarnya yang terjadi? Sebagai ahli geografi, saya mau berkongsi hipotesis tentang apa kebarangkalian yang berlaku dalam konteks klimatologi (cuaca), hidrologi (aliran air) dan geomorfologi (batuan dan tanih).
Dalam seminggu dua ini, Kundasang memang selalu hujan lebat. Ini menambahkan intensiti aliran air di atas gunung. Permukaan gunung itu sebenarnya bukan batu sepenuhnya. Ada juga tumbuh-tumbuhan dan lapisan tanih nipis.
Selain itu, permukaan batu gunung itu bukan solid sepenuhnya. Ada juga rekahan-rekahan, akibat proses hakisan dan luluhawa. Lihat gambar di tepi video. Ini bukanlah gambar yang diambil di Aki Nabalu, tapi ciri dan bentuknya lebih kurang begitu.
Bila aliran air di permukaan gunung terlalu kuat, melebihi intensiti normal selama beberapa hari — maka, pohon-pohon kecil itu, lapisan tanih dan rekahan-rekahan batu akan hanyut dan terkumpul. Kemudian akhirnya gedebuk jatuh seketul.
4
Itulah yang kita nampak sebagai “visual runtuhan” dari jauh. Sebenarnya itu adalah tumbuhan, lapisan tanih dan rekahan batu yang tersungkap dan hanyut, kerana aliran air permukaan yang begitu deras.
Bolehkah kejadian yang sama begini berlaku di segmen Laban Rata, iaitu susur perjalanan mendaki gunung? Secara teori boleh, tapi kebarangkalian jauh lebih rendah.
Kenapa? Sebab segmen di sana tidaklah terlalu curam. Bentuknya lebih melandai. Rekahan batu dan sisipan lapis tanih (akibat proses hakisan dan luluhawa) lebih sedikit dan perlahan terbentuk.
Sebab itu bila kita tengok video orang mendaki masa hujan lebat, selalu kita hanya nampak aliran air deras. Tidak ada bahan-bahan hanyutan seperti tumbuhan, tanih dan rekahan batu.
5
Dalam situasi cuaca ekstrim seperti sekarang, barangkali ada banyak lagi insiden runtuhan di sekeliling Gunung Kinabalu (terutama pada segmen-segmen yang curam).
Cuma saja, kita tidak sedar dan tiada siapa sempat merakamnya. Barangkali sebab terjadi waktu malam, atau berlaku di ceruk-ceruk terpencil yang jauh daripada pemerhatian dan pandangan manusia.
Maksudnya apa? Ini sebenarnya fenomena biasa, yang boleh berlaku secara rutin sewaktu musim tengkujuh dan hujan lebat, seperti sekarang. Adakah ini berbahaya?
Setiap anomali (walau sekecil ini) memang ada potensi jadi bencana. Tapi risikonya terkawal. Kita cuma perlu waspada, dan sentiasa peka pada makluman dan arahan agensi-agensi pemantau (i.e. bomba, APM, etc) dan pihak berkuasa tempatan.
Sebelum ada yang kalut dan copot jantung, dapatkan dulu info sahih dari pihak berautoriti. Jangan cepat terpedaya dengan fantasi pakar-pakar penyebar halunisasi anjir di media sosial dan internet.
Nota: Terima kasih kepada empunya video atas perkongsian. Maaf, saya cuplik tanpa keizinan. Tapi sekadar untuk tujuan awareness. Content media sosial saya tidak menawarkan sebarang fungsi komersial.