ANWAR ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Perancang Wilayah Persekutuan Labuan di salah sebuah hotel di sini, pada Khamis.
LABUAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Tertutup Jawatatankuasa Eksekutif Perancang Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Khamis.
Mesyuarat yang bermula kira kira jam 7 malam itu telah dihadiri seramai 38 ahli mesyuarat yang melibatkan 15 ahli tetap termasuk Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Tan Sri Anifah Aman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.
Manakala selebihnya merupakan jemputan khas yang antara lain membincangkan pertimbangan berkaitan Draf Perancangan Struktur Labuan 2040 dan Kelulusan Penganjuran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Labuan 2040.
Menurut pihak Perbadanan Labuan, Draf Rancangan Struktur Labuan 2040 adalah merupakan suatu dokumen perancangan yang menggariskan Dasar dan Polisi untuk memandu arah Pembangunan Wilayah Persekutuan Labuan kearah sejahtera, mampan dan pintar menjelang tahun 2040.

SERAH…Anwar yang diiringi oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya menyampaiakn bakul makanan kepada salah seorang asnaf.
Mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu telah diurusetia oleh Jabatan Perancangan dan Kawalan Bangunan Perbadanan Labuan (PL) dengan kerjsama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan PLANMalaysia.
Terdahulu sebelum itu, Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan singkat ke Labuan pada Sabtu berkesempatan mengahdiri sesi Libat Urus melibatkan Program Pembasmian Tegar Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di aras 2, Bangunan Ujana Kewangan.
Pada majlis itu, beliau yang turut diiringi oleh Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Tan Sri Anifah Aman menyampaikan bakul makanan dan wang tunai kepada 60 Ketua Isi Rumah (KIR) yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Labuan.