Pegawai Penguatkuasa KPDN ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah tapak hiburan funfair pada Rabu.
LABUAN:Pengendal Tapak Hiburan (funfair) di sini dikenakan kompaun oleh Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan, selepas didapati gagal mempamerkan caj bagi beberapa permainan yang ditawarkan kepada pengguna.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, tindakan itu diambil susulan aduan yang diterima daripada orang awam.
“Berdasarkan aduan itu, sepasukan Penguatkuasa KPDN telah melakukan pemeriksaan di salah satu tapak hiburan (fun fair) berkenaan.
” Pemeriksaan mendapati pengendali tapak hiburan tersebut telah gagal mempamerkan caj bagi beberapa permainan yang ditawarkan kepada pengguna dan tindakan kompaun telah dikenakan atas kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020, di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723]”, katanya dalam satu kenyataan di sini.
Junaidah menjelaskan peraturan tersebut mewajibkan mana-mana peniaga atau penyedia perkhidmatan mempamerkan harga atau caj dengan jelas, mudah dilihat dan mudah difahami oleh pengguna sebelum sesuatu urus niaga dilakukan.
” Kegagalan mematuhi peraturan itu boleh menjejaskan hak pengguna untuk membuat pilihan secara telus serta boleh mengakibatkan kekeliruan dalam transaksi perkhidmatan”, katanya.
Bagi kesalahan tersebut, jika disabitkan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau dikenakan kompaun mengikut peruntukan yang ditetapkan. Bagi pertubuhan perbadanan pula, hukuman denda yang boleh dikenakan adalah sehingga RM100,000.
KPDN Wilayah Persekutuan Labuan akan terus mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua peniaga dan penyedia perkhidmatan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan.
Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.



