GAMBAR: TAN SRI ANNUAR MUSA.
LABUAN: Kementerian Wilayah Persekutuan, (KWP) melalui Perbadanan Labuan akan memberikan lesen perniagaan secara percuma kepada penjaja selama setahun bermula bulan ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bersetuju untuk memberikan lesen perniagaan itu secara percuma disebabkan situasi ekonomi yang sukar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID 19.
“Pemberian lesen perniagaan secara peruma untuk tempoh setahun bertujuan bagi membantu warga tempatan khususnya yang berpendapatan rendah meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh Pergerakan Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang baru sahaja diumumkan oleh Perdana Menteri dapat memberi manfaat kepada warga Labuan.
“Saya amat memahami golongan berpendapatan rendah yang mata pencarian mereka bergantung kepada jualan makanan setiap hari telah terjejas teruk akibat sekatan pergerakan sebelum ini” katanya ketika ditemui pada Program Sesi Temubual Khas YB Menteri Wilayah Persekutuan di Konti Labuan fm, RTM pada Isnin.
Menurut Annuar, lesen percuma itu hanya ditawarkan kepada penduduk tempatan tidak kira mereka itu golongan suri rumah, belia atau siapa sahaja yang mahu memulakan perniagaan.
“Kita juga beri kelonggaran tempat lokasi mereka berniaga samada mereka berniaga dari kawasan rumah atau ditepi jalan atau dalam kereta asalkan tidak mengganggu lalu lintas.
“Mungkin ada mereka yang hanya berniaga nasi lemak di depan rumah atau ada yang berniaga secara mobile ditepi jalan atau ada yang nak jual satey dalam boot kereta untuk tempoh satu atau dua jam. Dalam keadaan sekarang ini saya mahukan berikan dan permudahkan lesen percuma kepada mereka” katanya. – BDB