26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Januari 17, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Peniaga pekan Ranau dakwa terjejas akibat penganjuran Festival Makanan

DAVID CHENG


RANAU: Peniaga-peniaga tempatan di pekan Ranau mendesak pihak berkuasa serta penganjur acara agar lebih peka terhadap kepentingan masyarakat setempat yang didakwa semakin terjejas berikutan penganjuran festival makanan di kawasan rumah kedai.

Seorang peniaga, David Cheng, berkata ramai pemilik premis kini tampil menyuarakan rasa tidak puas hati kerana bimbang periuk nasi mereka tergugat, selain mendakwa suara mereka seolah-olah diketepikan.

“Ini bukti suara kami bukan bersendirian. Jangan anggap peniaga tempatan akan berdiam diri apabila hak dan rezeki kami dipijak

“Apabila suara ramai sudah bangkit, penganjur dan pihak berkuasa wajar membuka mata

“Jangan hanya menjaga kepentingan segelintir pihak dengan mengabaikan ribuan periuk nasi orang Ranau sendiri,” katanya ketika dihubungi Borneo Daily Bulletin, hari ini.

Menurut David, peniaga tempatan tidak menolak persaingan atau menutup peluang pihak lain, namun mereka yang menanggung kos operasi tinggi termasuk sewa, utiliti, lesen serta gaji pekerja tempatan.

Beliau menegaskan bahawa peniaga di Ranau telah lama bertahan dan dalam masa sama menyediakan peluang pekerjaan tetap kepada anak-anak tempatan dengan gaji minimum atau lebih.

“Realitinya mereka sebagai pembayar cukai yang terkesan apabila program sebegini dianjurkan di kawasan rumah kedai

“Festival berkenaan bukan sahaja menjejaskan kelangsungan perniagaan sedia ada, malah mengganggu ketenteraman penghuni rumah kedai termasuk warga emas dan kanak-kanak kecil dengan gangguan muzik sehingga lewat malam,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, antara kebimbangan yang disuarakan peniaga termasuk isu parkir awam yang disalahgunakan apabila kawasan letak kenderaan pelanggan kedai digunakan untuk acara, sekali gus menjejaskan aliran pelanggan ke premis sedia ada.

Mereka juga mendakwa peniaga tempatan yang membayar sewa mahal dan menggaji pekerja sendiri mengalami kerugian, manakala vendor luar pula meraih keuntungan tanpa melibatkan tenaga kerja tempatan.

“Selain itu, peniaga pasar malam Bumiputera turut terkesan apabila pelanggan beralih ke festival makanan tersebut, manakala isu kesihatan dan kebersihan turut timbul susulan ketiadaan bekalan air bersih serta sistem pelupusan sisa makanan yang sempurna

“Gangguan bunyi muzik sehingga larut malam turut membebankan penghuni rumah kedai,” katanya.

Menurut David lagi, sebagai jalan penyelesaian, kumpulan peniaga mencadangkan agar festival makanan hanya dibenarkan diadakan dua kali setahun dan dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai seperti Tapak Tamu lama atau Tapak Tamu baharu, bukannya di kawasan parkir awam berhampiran deretan kedai utama.

“Kami menegaskan bahawa peniaga Ranau akan terus bersuara dan tidak berganjak daripada pendirian mereka untuk memperjuangkan hak masing-masing,” tambah David



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN