28.8 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mei 20, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pengguna lega dan bersyukur, laluan Kundasang-Ranau kini boleh dilalui semula. 

OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN

SELEPAS hampir sebulan laluan Kundasang-Ranau di Kilometer 96.7 ditutup akibat tanah runtuh, pengguna kini boleh menarik nafas lega, apabila laluan itu dibuka semula untuk lalu-lintas hari ini.

Kesulitan yang dihadapi pengguna sejak laluan berkenaan terjejas  8 Disember tahun lalu kini berakhir selepas jalan raya  utama menghubungkan Kota Kinabalu-Pantai Timur Sabah itu siap dibaiki dan diturap termasuk kerja-kerja berkaitan sehingga lewat malam pada Rabu (semalam).


KINI BOLEH DILALUI

Tinjauan penulis seawal jam 7 pagi ini, laman media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter  dipenuhi ucapan dan rasa syukur di kalangan pengguna dan netizen selepas penantian  mereka untuk laluan itu dibuka berakhir hari ini. Berita gembira itu juga turut dikongsi dikebanyakan ‘WhatsApp Group’.

<PENULIS yang mengikuti dan melaporkan perkembangan di lokasi sepanjang hampir sebulan kerja-kerja pembaikan laluan dijalankan sejak kejadian 8 Disember lalu.>

Rata-rata pengguna dan netizen menzahirkan ucapan terima kasih mereka kepada pihak berkenaan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor yang telah bertungkus-lumus siang dan malam untuk menyiapkan kerja-kerja pembaikan di lokasi terjejas.

Ucapan terima kasih juga turut diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, sukarelawan dan penduduk kampung yang telah membantu mengawal dan melancarkan lalu-lintas  terutama di laluan alternatif sepanjang tempoh kerja-kerja pembaikan dijalankan.


Sementara itu, tidak kurang juga pengguna dan netizen yang berkongsi harapan mereka agar kejadian seumpama itu tidak akan berulang terutama sekali melibatkan kecuaian manusia yang mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesan buruk kepada alam dan manusia.

Laluan jalan raya utama yang menghubungkan Kundasang dengan Ranau itu terjejas akibat tanah runtuh yang berpunca daripada kerja pembersihan tanah bukit dipercayai untuk perumahan dan pertanian.


SIAP… kini dibuka untuk lalu lintas

Kejadian pada 9 malam, 8 Disember lalu itu berlaku selepas hujan lebat menyebabkan runtuhan tanah setinggi 150 meter dan lebar lebih 30 meter dari kawasan bukit berhampiran sehingga menyebabkan jalan raya sepanjang kira-kira 120 meter mengalami kerosakan.

Keadaan itu turut menyebabkan ratusan kenderaan dari arah Kota Kinabalu dan Sandakan terperangkap sebelum pihak JKR mencadangkan beberapa laluan alternatif dibuka.-TAMAT-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN