Pengakap Zon Satu terima Anugerah Rambu 2020

Pengakap Zon Satu terima Anugerah Rambu 2020

Mohd Alias (tiga kiri), Mohd Farihi dan Mohd Hasnizan (kiri) bersama Pengakap SK Membedai dan SMK Mutiara yang menerima Anugerah Rambu 2020.

LABUAN: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Wilayah Persekutuan Labuan, Zon Satu telah mengadakan Majlis Penganugerahan Rambu 2020 kepada ahli Pengakap yang berjaya menepati syarat-syarat, baru-baru ini.

Anugerah itu turut diberikan kepada mereka yang telah melengkapkan semua ujian dan aktiviti yang diperlukan dalam skim pengakap mengikut bidang masing-masing.

Pada majlis itu  4 orang ahli Pengakap Kanak-Kanak dari Sekolah Kebangsaan Membedai iaitu Mohamad Noraiman Danial, Muhammad Nurhamizan Adli, Nur Anis Nadhirah dan Nur Fatin Syamimi menerima Tanda Cemerlang Rambu Kanak-Kanak Anugerah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri (Rambu Biru).

Ahli Pengakap Kanak-Kanak ini telah lulus 3 Lencana Ujian Keris dan melengkapkan 7 Lencana Kepandaian yang melayakkan mereka menerima anugerah tersebut di samping sentiasa berkelakuan baik dan mempunyai sifat kepimpinan yang baik dan boleh dicontohi.

Sementara itu,  empat  orang murid dari Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara iaitu Rosanne Hazel Anak Robert, Daryl Karlen, Megawati Sulaiman dan Latipa Basir menerima Tanda Cemerlang Rambu Pengakap Remaja Anugerah Ketua Pengakap Negara (AKPN) (Rambu Kuning).

Mereka ini telah lulus dan mendapat kesemua 5 Lencana Tertinggi serta lulus syarat-syarat yang ditetapkan iaitu lulus semua Lencana Tertinggi sekurang-kurangnya 2 bulan, menunjukkan sikap dan keupayaan kepimpinan cemerlang yang boleh dicontohi, mengamalkan prinsip Pengakap dan berkelakuan baik serta disegani.

Majlis Pengurniaan Anugerah dan Pemakaian Rambu 2020 disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Persekutuan Pengakap Malaysia WP Labuan, Dato’ Sri Mohd Alias A. Rahman.

Turut hadir Setiausaha Kehormat Majlis Pengakap Negeri, Skip Mohd Farihi Ab Halim, Bendahari Kehormat Majlis Pengakap Negeri, Skip Mohd Hasnizan Hasin, JU SDGs Programme Kebangsaan, Skip Theodorus Clarence Tessensohn, Pengerusi Program PPM Labuan, Skip Angela Joseph dan Pesuruhjaya Daerah Zon Satu PPM Labuan, Skip Niza Utiya Haji Hamzah.

Majlis yang diadakan di Desa Tunas Hijau, Kampung Sungai Pagar WP Labuan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran ibu bapa dan keluarga ahli pengakap yang sentiasa memberi sokongan kepada PPM WP Labuan.