Oleh : Salwah Aramat
RANAU : Lebih seribu penduduk dari beberapa buah kampung termasuk Kg.Tagibang, Kg.Gunsapou (daerah Ranau) dan Kg.Gana Kota Marudu memohon kerajaan supaya menaiktaraf jalan ke kampung-kampung berkenaan yang kini rosak teruk menyukarkan penduduk menghantar hasil pertanian ke pekan Ranau atau Kota Marudu.
Jurucakap penduduk yang juga mantan Pengerusi JKKK kini MPKK, Edin Dambilang memberitahu, laluan sejauh 4 kilometer dari Kg.Tagibang ke jalan utama ke pekan Ranau dan 18 kilometer ke Kota Marudu tidak pernah dinaiktaraf kini rosak teruk, becak berlumpur hingga ke paras lutut serta berselekoh.

“Penduduk terpaksa bergotong royong menggunakan peralatan sendiri untuk membaiki jalan tersebut tetapi tidak bertahan lama kerana tiada sistem perparitan, yang penduduk tidak mampu membaikinya”, jelas Edin, sambil memaklumkan laluan jalan berkenaan merupakan laluan anak-anak mereka ke sekolah (SK,Tagibang).
Menurut Edin, pembaikan jalan tersebut pernah dilakukan oleh pihak kontraktor pada tahun 2005, tetapi hanya meletakkan batu sungai di atas jalan yang namun tidak bertahan lama dan sejak itu tiada tindakan susulan sehingga hari ini, walaupun sudah berpuluh surat hitam putih dihantar kepada yang berwajib.
“Berikutan dengan keadaan jalan itu juga menyukarkan ibu bapa menghantar anak mereka ke SMK.Timbua Ranau, SMK.Lohan Ranau dan SMK.Kota Marudu malah menyukarkan penduduk untuk menghantar keluar ke hospital jika berlaku sakit

“Rata-rata penduduk yang berumur juga tidak dapat memperoleh bekalan ubat berikutan lambat ke hospital untuk menghadiri temujanji Doktor di hospital”, tambah Edin dengan penuh harapan jalan tersebut mendapat perhatian untuk dinaiktaraf secepat mungkin.-TAMAT-
