26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Oktober 12, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Penduduk luar bandar disaran supaya bersabar: Jonathan

Jusiana(empat kiri) menyampaikan cenderakenangan kepada Datuk Jonathan disaksikan ahli rombongan serta penduduk Kg.Kieyip.

RANAU: Penduduk luar bandar disaran supaya bersabar  menanti pelaksanaan projek keperluan mereka.

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, memandangkan peruntukan kewangan  Parlimen adalah terhad maka projek-projek mendesak akan diberi keutamaan manakala projek lain akan dilaksanakan kemudian.

“Peruntukan kewangan yang disalurkan kerajaan pusat  sudah diagih-agihkan mengikut keperluan mendesak di kawasan P.179 Ranau, maka yang lain kita usahakan untuk dilaksanakan tahun depan.

“Dengan sebab itu saya menyeru penduduk supaya bersabar menunggu”, jelas Jonathan ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Balai Raya Kg.Kieyip terletak kira-kira 65 kilometer dari pekan Ranau baru-baru ini.

Menurut Jonathan, masih banyak projek infra yang perlu dilaksanakan di kawasan luar bandar namun terpaksa tertangguh disebabkan peruntukan  kewangan tidak mencukupi dan itu dibawa ke tahun hadapan.

“Kos pembelian 50 buah kerusi seperti yang diminta untuk balai raya kampung ini, kita bawa pada tahun depan”, tambah Jonathan sambil memaklumkan sumbangan peribadinya berjumlah  RM500 untuk membiayai keperluan Jemaat sempena sambutan Hari Krismas  tidak lama lagi.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan  dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg.Keiyip, Jusiana Ekang dalam ucapan aluannya, mewakili penduduk merakam penghargaan dan terima kasih atas kesudian Jonathan memenuhi jemputan menghadiri majlis tersebut.

“Saya mewakili penduduk berterima kasih atas kehadiran Datuk ke majlis kami meskipun Datuk sibuk dengan acara di tempat lain”, jelas Jusiana sambil memuji Jonathan kerana banyak menolong golongan memerlukan termasuk membantu membiayai kos perubatan anaknya yang  menerima rawatan pembedahan di hospital kerana patah kedua belah tangan.

“Dengan adanya bantuan daripada Jonathan telah meringankan beban kewangan keluarga saya, ‘terima kasih Datuk”, jelas Jusiana dan memaklumkan, Jonathan amat prihatin membantu mereka yang dikenalpasti tidak berkemampuan membina rumah kediaman lebih selesa khususnya golongan warga emas.

Jusiana seterusnya mewakili penduduk Kg
Kieyip, mengemukakan permohonan kepada kerajaan melalui Jonathan untuk menyediakan peruntukan kewangan bagi menaiktaraf jalan menuju bangunan Gereja dan ke kawasan tanah perkuburan Kg.Kieyip.

“Kami mohon agar jalan menuju Gereja dan tanah perkuburan kampung ini dinaik taraf  kerana ia satu keperluan penduduk di sini”, tambah Jusiana mengakhiri ucapannya pada majlis  itu yang turut dihadiri Staf  Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau bersama lebih 100 penduduk termasuk Ketua Kampung Kg.Kieyip, KK.Kunut Yulias.

Kg.Kieyip kini mempunyai 37 buah rumah dengan bilangan penduduk berjumlah 225 orang  mengusahakan tanah pertanian sebagai sumber utama mereka.

            

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN