Oleh: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Penduduk Kampung Luanti dan sekitarnya gempar apabila sebahagian kawasan itu dilanda banjir kilat, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, beberapa kawasan rendah sekitar kampung dinaiki air sebelum melimpah ke jalan raya utama.

Sumber memberitahu, banjir berpunca daripada air yang mengalir turun dari kawasan bukit berhampiran akibat hujan lebat.
Menurut laporan awal dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau yang meninjau lokasi kejadian, jalan raya utama Kota Kinabalu – Sandakan di Kilometer 127 telah dinaiki air sepanjang 100 meter.

“Hujan lebat dan berterusan telah membawa kuantiti air yang banyak mengakibatkan Twin Culvert sedia ada berukuran 900mm telah tersumbat kerana tidak mampu menampung.
“Bagaimanapun, jalan raya terbabit boleh dilalui kenderaan selepas kerja-kerja pembersiham culvert oleh syarikat konsesi siap pada jam 6 petang tadi,” menurut JKR.

Terdahulu, kejadian sempat dirakam penduduk kampung dan pengguna jalan sebelum dikongsi melalui media sosial.
Gambar dan rakaman video kejadian menunjukkan air mengalir deras dari kawasan bukit sebelum melimpah ke kawasan rendah dan jalan raya.

Keadaan itu menyebabkan beberapa pengguna jalan dari kedua-dua arah terpaksa memberhentikan kenderaan mereka di bahu jalan untuk melihat keadaan sebelum meneruskan perjalanan.
Mujur dalam kejadian itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.-TAMAT-
