Oleh: Salwah Aramat
RANAU : Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg. Napong 1 di sini, terus menguatkuasakan arahan agar penduduk tinggal bersama keluarga masing-masing dan tidak keluar ke mana-mana sebagai langkah menangani penularan wabak Coronavirus (Covid-19).
Pengerusi MPKK Kg. Napong 1, Elvin Bin Julin (gambar) berkata, penduduk harus mematuhi arahan kerajaan untuk tinggal bersama keluarga dan tidak keluar ke mana-mana seperti ke pekan atau mengadakan dan menghadiri sesuatu majlis keramaian sebagai langkah mengelakkan daripada jangkitan Covid-19 yang kini sedang melanda seluruh dunia.
Menurut Elvin, meskipun di Kg. Napong 1 masih terkawal dan belum ada yang dikenalpasti dijangkiti wabak itu, namun langkah berjaga-jaga harus dilaksanakan untuk kebaikan semua pihak.
“Dengan sebab itu, saya ikhlas mengeluarkan kenyataan ini untuk memberi ingatan serta kesedaran kepada penduduk supaya mematuhi larangan keluar sesuka hati ke pekan tanpa tujuan yang munasabah.
“Bagi mereka yang bekerja atau yang bersekolah di luar kawasan ada baiknya tangguhkan dahulu buat sementara waktu sehingga keadaan selamat, mengikut pengumuman pihak berwajib iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari masa ke semasa”, jelas Elvin sambil menegaskan bahawa pihaknya turut menguatkuasakan larangan kepada orang luar untuk memasuki Kg. Napong 1, tanpa kebenaran daripada MPKK dan Ketua Adat (Ketua Kampung).
Menurutnya lagi, bagi penduduk yang ada kedai runcithendaklah memastikan pelanggan yang tinggal di kampung itu sahaja yang dibenarkan untuk berurusan (membeli).
“Elakkan kerap keluar ke pekan kecuali urusan rasmi itupun, hanya ketua keluarga atau seoarang sahaja wakil keluarga yang dibenarkan.
“Saya mengharapkan pihak anggota RELA dan KRT Kg. Napong 1, akan mengambil peranan masing-masing berkordinasi seiring dengan keperluan dan SOP yang telah ditetapkan”, tambahnya. –TAMAT–