34 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 28, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Penduduk kampung merayu agar bangunan, fasiliti Klinik Kesihatan Kg.Malalin dibaiki segera.

Struktur bangunan Klinik Kesihatan Kg.Malalin yang mengalami kerosakan dan perlu pembaikan segera.

PAITAN: Pemimpin masyarakat di Kg. Malalin merayu agar pihak berwajib segera memperbaiki bangunan dan fasiliti Klinik Kesihatan kampung tersebut untuk kemudahan penduduk mendapatkan rawatan.

Ketua Kampung Kg. Malalin, Jaling bin Kuak berkata, klinik kesihatan tersebut kini tidak beroperasi disebabkan mengalami kerosakan beberapa struktur bangunan termasuk rumah penginapan kakitangan.

(kiri) KK Jaling bin Kuak, (kanan) Aziz bin Rajes, Pengerusi JPKK

Katanya, penutupan operasi klinik tersebut menyukarkan penduduk kampung mendapatkan rawatan kesihatan lebih-lebih lagi mereka yang menghidap penyakit kronik.

“Sebagai Ketua Kampung, saya merayu agar pihak kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segera memperbaiki kerosakan bangunan klinik tersebut dan operasinya dibuka semula”. Tegas beliau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg.Malalin, Aziz bin Rajes turut berharap agar operasi klinik tersebut dibuka segera kerana ramai penduduk kampung sukar mendapatkan rawatan kesihatan.

Jelasnya, ketika ini, penduduk kampung terpaksa mendapatkan rawatan kesihatan di Klinik Kesihatan Pulau Jambongan yang mengambil masa sekitar 30 minit menaiki bot untuk sampai ke lokasi berkenaan daripada Kg. Malalin.

“Agak sukar dan berisiko terutama wanita mengandung atau mereka yang mengalami penyakit kronik. Tambah rumit apabila berlaku kes kecemasan membabitkan kesihatan dan kemalangan pada waktu malam”. Katanya.

Pertemuan Pemimpin Masyarakat Kg Malalin bersama Adun Sugut

Sebelum itu, kedua-dua pemimpin masyarakat berkenaan mengadakan pertemuan dengan Adun Sugut, Datuk James Ratib untuk mengemukakan permasalahan tersebut pada Jumaat.

Selain masalah kerosakan struktur bangunan klinik, mereka turut menjelaskan tentang kedudukan klinik tersebut yang didirikan dalam kawasan Tanah Hutan Simpan.

Dalam pertemuan itu, Ketua Kampung Kg. Malalin turut mengemukakan cadangan tapak tanah yang sesuai didirikan bangunan klinik kesihatan baru bagi kampung mereka yang tidak termasuk dalam kawasan hutan simpan.

James dalam maklumbalas nya menyatakan, beliau menyokong cadangan tapak tanah tersebut dan menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segera memperbaiki kerosakan klinik serta membuka sementara waktu operasinya sehingga sebuah bangunan klinik baru dibina.

Bahagian luar dan dalam bangunan Klinik Kesihatan Kg.Malalin yang mengalami kerosakan

“Pihak KKM perlu segera menperbaiki kerosakan klinik tersebut dan membuka semula operasinya untuk kemudahan kesihatan penduduk kampung. Tapak yang dicadangkan Ketua Kampung perlu dinilai dan dipertimbangkan agar sebuah bangunan klinik kesihatan yang baru dapat dibina”. Tegas James yang juga Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan Negeri Sabah.

Kg. Malalin mempunyai sekitar 600 orang penduduk yang kebanyakannya berkerja di estate kelapa sawit berdekatan dan nelayan.-HR

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN