Ghani menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar STPM sambil disaksikan oleh Pengetua SMK Nabawan Haliman Narion (kanan).
NABAWAN:Pendidikan adalah perkara asas yang amat penting dan menjadi hak untuk setiap individu dalam dunia ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, akses pendidikan berkualiti adalah landasan untuk memperolehi ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.
Katanya, sebagai wakil rakyat di kawasan ini, beliau amat menitikberatkan pembangunan modal insan dalam usaha membangunkan masyarakat di daerah ini.
Beliau berkata demikan semasa berucap merasmikan Majlis Hari Apresiasi Sekolah (MAPRES)Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK)Nabawan pada Rabu.
“Saya yakin kerajaan negeri dan persekutuan akan terus memberikan komitmen yang terbaik dalam memastikan para pelajar begitu juga dengan warga pendidik di daerah ini khususnya kawasan luar bandar akan terus dibela” katanya.
Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS)berkata, sehubungan dengan ini beliau akan menyuarakan cadangan dan keluhan serta memohon pelbagai bantuan mengenai pelbagai isu khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur dan kebajikan para pelajar serta para guru di daerah ini akan terus diambil perhatian serius.
“Kita harus berbangga dengan anak bangsa kita kerana ramai yang telah melakar kejayaan dan mengharumkan nama daerah ini” ujarnya.
Pada masa sama Ghani menyeru kepada semua pihak khususnya kepada semua warga pendidik, PIBG, agensi dan jabatan kerajaan yang ada di daerah ini begitu juga dengan masyarakat setempat agar menyemai sikap prihatin dan sentiasa memberikan keutamaan terhadap sistem Pendidikan anak-anak.
Ini katanya, supaya mereka akan terus melakar kejayaan di peringkat yang lebih tinggi dan generasi masa depan mampu mengubah nasib masyarakat di daerah ini untuk lebih maju berdaya saing dan dihormati oleh masyarakat luar.
Berucap sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Nabawan Puan Laineh Agindang dan Pengetua SMK Nabawan Haliman Narion.
Ghani turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar SMK Nabawan yang mendapat keputusan cemerlang khususnya dalam peperiksaan SPM dan STPM.
Selain menyumbang kewangan RM3,000.00 untuk membiyai majlis itu dan menyumbang 20 naskah Kamus Murut Tahol, Ghani juga memberi sijil anugerah galakan berasama iringan wang tunai RM200 kepada setiap pelajar STPM yang memperolehi keputusan PGNK 3.5 ke atas dan SPM yang mendapat 5A ke atas.