KOREK…. Jentolak melakukan kerja-kerja mengorek untuk mendalamkan muara sungai Rancha-Rancha Laut.
LABUAN:Lebih 100 nelayan tempatan Kampung Rancha Rancha Laut kini menarik nafas kega apabila muara sungai Rancha-Rancha yang menjadi laluan utama nelayan ke laut telah berhasil didalamkan.
Kerja-kerja pengorekan muara sungai yang cetek akibat timbunan pasir yang dihanyutkan ke kuala sungai itu telah mula dilaksanakan awal pagi Selasa dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada Khamis.
Inisiatif mendalamkan kuala sungai itu dilakukan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Labuan selepas pihaknya menerima aduan daripada nelayan yang menghadapi kesulitan untuk turun kelaut atau ketika balik daripada menangkap ikan.

TINJAU…. Suhaili ketika meninjau muara sungai Rancha-Rancha Laut yang cetek
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman berkata kerja-kerja mendalamkan muara itu telah dibiayai oleh salah seorang usahawan tempatan yang prihatin dengan kesulitan yang dihadapi oleh nelayan berkenaan.
“Majoriti penduduk Kampung Rancha Rancha Laut adalah nelayan dan bila mereka mengadu mengenai kesulitan mengeluarkan perahu untuk ke laut dan semasa balik dengan membawa hasil tangkapan sering terkandas akibat muara sungai yang cetek terutamanya pada waktu air laut surut.
“Susulan daripada aduan itulah kami mengambil inisiatif untuk membantu mendalamkan muara sungai tersebut bagi memudahkan para nelayan terbabit ke laut untuk mengakap ikan” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja mendalamkan muara sungai itu, pada Selasa.
Dalam perkembangan yang lain, Suhaili menjelaskan kira-kira 40 penjaja kecil tempatan akan menerima bantuan ‘one-off’ RM500 sumbangan parti Bersatu bagi meringankan bebanan kewangan golongan tersebut yang terjejas akibat pandemik COVID 19.