Datuk Abidin memotong reben perasmian Dewan Terbuka Gereja SIB Kg. Kapangian
RANAU : Para pemimpin gereja di daerah ini khususnya di Kampung Kapangian digesa agar menguasai mental yang kuat dan kayakinan diri yang tinggi serta sentiasa bersandarkan kepada Tuhan dalam membangunkan rohani dan sahsiah para jemaat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir semasa merasmikan Dewan Terbuka Gereja SIB Kampung Kapangian petang kelmarin menekankan, prinsip ini penting bagi seseorang pemimpin dalam mentadbir dan menjalankan amanah yang telah diberikan oleh sidang jemaat kepada mereka.
“Sebagai manusia yang sentiasa ada kelemahan, prinsip ini penting kerana seseorang pemimpin itu pastinya tidak akan terlepas daripada pelbagai masalah yang timbul. Jika kita tidak mempunyai prinsip demikian sudah tentu ia berakhir dengan meletakkan jawatan dan ini akan merugikan masa dan jemaat itu sendiri “ katanya.
Abidin yang juga ADUN N 38 Paginatan memuji kesatuan jemaat di kampung itu. Beliau berkata suasana yang harmoni akan mewujudkan pengurusan gereja yang kondusif. Suasana sedemikian juga sudah pastinya akan memudahkan penyaluran bantuan daripada kerajaan.
Abidin dalam ucapannya turut memohon maaf kerana sebelum ini beliau hanya dapat meluluskan permohonan sebanyak RM28,000 sahaja bagi penyiapan Dewan Terbuka tersebut. Ini disebabkan peruntukkan yang ada harus diagihkan kepada kampung lain dalam DUN Paginatan.
Terdahulu Penatua Gereja yang juga Pemaju Mukim Suminimpod, Encik Sibin Keidau melahirkan rasa syukur kerana dengan adanya Dewan Terbuka ini mereka khususnya di Kampung Kapangian dan sidang-sidang jemaat berhampiran sudah mempunyai tempat untuk mereka bersama-sama mengadakan program-program gereja. Beliau semasa ditemubual juga turut berterimakasih kerana Abidin telah meluluskan permohonan sebanyak RM20,000 bagi pembelian peralatan dalam gereja dan kegunaan lain.



