Dr. Jeffrey (dua dari kanan) dan Robert (kanan)menerima cenderakenangan pakaian tradisi pada majlis itu.
KENINGAU:Pembukaan pasar malam Pekan Bingkor adalah satu usaha untuk memenuhi keperluan orang ramai dengan penawaran melalui penjualan pelbagai jenis barangan dan produk tempatan di pasar malam ini, sekaligus dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin berharap agar semua peniaga dan penjaja dapat memberikan komitmen dalam menceburi bidang perniagaan melalui pembukaan pasar malam ini
“Memang dalam perniagaan banyak cabarannya tetapi jika anda mempunyai semangat dan disiplin diri yang tinggi untuk maju, semua itu pasti boleh diatasi dengan baik dan seterusnya membolehkan anda berjaya dalam perniagaan yang diceburi” katanya.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan Pasar Malam Pekan Bingkor yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Datuk Dr. Jeffrey Kitingan pada Sabtu lepas.
Beliau juga berharap kepada pihak pengurusan pasar malam Pekan Bingkor, para peniaga dan penjaja agar dapat memberikan kerjasama yang jitu kepada pihak Majlis Daerah Keningau untuk sentiasa menjaga kebersihan agar persekitaran pasar malam sentiasa dalam keadaan bersih dan menarik.
“Ini bukan hanya dapat memberi keselesaan kepada pengunjung dan peniaga tetapi juga dapat menggalakkan lebih ramai orang untuk berkunjung” katanya.
Selain itu katanya, untuk menarik lebih ramai pengunjung, beliau menyarankan agar para penjaja dan peniaga juga dapat mempelbagaikan jualan barangan dengan mengutamakan produk tempatan.
“Sudah semestinya kepelbagaian jenia barangan ditambah lagi dengan kepelbagaian produk tempat mampu menarik pengunjung khususnya dari luar kawasan untuk berkunjung ke pasar malam ini” jelasnya.
Katanya, dengan kepelbagaian lokasi pelancongan yang terdapat di Mukim Bingkor ini juga, sudah semestinya kepelbagaian barangan dan produk tempatan yang dijual di pasar malam ini akan mampu menarik minat pelancong ke pasar malam Pekan Bingkor ini dan seterusnya dapat mempromosikan budaya masyarakat di kawasan ini.
Menurut Robert, sebagai wakil rakyat di kawasan ini, beliau akan sentiasa memberi perhatian dan sokongan dalam apa juga program yang baik dan usaha yang bermanfaat kepada penduduk setempat.
“Saya akan membantu sejauh mana yang termampu” tambahnya.
Hadir sama Pegawai Daerah Keningau Walter Kenson dan Pemimpin-Pemimpin Masyarakat.



