Selepas dilancarkan, pelan ini akan menjadi panduan utama kepada KPLB Sabah dan pejabat-pejabat daerah bagi menjayakan RMK-12,”
-Datuk Ewon Benedick-
OLEH: MARRYAN RAZAN
KOTA KINABALU: Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar Sabah (2021-2025) dan Sistem Aplikasi Profail Kampung dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sempena Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah ke-24, di Pacific Sutera Hotel, di sini, hari ini.
Pelan strategik itu menggariskan inisiaitif-inisiaiti baharu dan memantapkan program sedia ada di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah ke arah mencapai sasaran penurunan kadar kemiskinan komuniti luar bandar dengan penglibatan aktif pelbagai pihak.
Manakala Sistem Aplikasi Profail Kampung pula adalah satu aplikasi digital bertujuan untuk mengurus data-data pembangunan setiap kampung di seluruh Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, Sistem Aplikasi Profail Kampung itu dibangunkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah dengan kerjasama Sabah.Net.
“Saya minta supaya sistem ini dibangunkan susulan pengalaman awal saya di KPLB Sabah sebaik diberi amanah sebagai Menteri di mana ketika itu kita tidak dapat menyediakan rumusan data yang diperlukan untuk bersidang di Mesyuarat Penyelarasan Exco-Exco Luar Bandar Malaysia.
“Selain itu, dua aplikasi lain yang turut dibangunkan oleh KPLB Sabah ialah Sistem Pembayaran Elaun MPKK dan Sistem Pengurusan Permohonan Projek Kecil Kementerian.
“Saya berbangga kerana inisiatif-inisiatif pendigitalan ini merupakan sebahagian daripada pembaharuan dan penambahbaikan tadbir urus KPLB Sabah,” katanya ketika berucap pada Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, di sini, hari ini.

Mengenai Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar Sabah (2021-2025) Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, pelan itu mencakupi lapan teras utama, pernyataan dasar, strategi dan program.
Katanya, ia bertujuan untuk mencapai sasaran penurunan kadar kemiskinan serta sasaran pembangunan infra asas, ameniti sosial dan modal insan komuniti luar bandar sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
“Selepas dilancarkan, pelan ini akan menjadi panduan utama kepada KPLB Sabah dan pejabat-pejabat daerah bagi menjayakan RMK-12,” katanya.
Ewon berkata, Kerajaan Persekutuan telahpun mencetuskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang akan menjadi teras utama pelaksanaan RMK-12 dan RMK-13.
“Jika dilihat dari segi falsafahnya, maka inilah yang diimpikan oleh komuniti luar bandar agar tiada yang merasa terpinggir, sebaliknya sama-sama menikmati kemakmuran pembangunan dan kemajuan negara ini.
“Sebab itulah Kerajaan Negeri, semua kementerian dan pejabat daerah perlu memainkan peranan penting memastikan aspirasi rakyat luar bandar ini dicakupi dengan sebaiknya dalam penyediaan dan pelaksanaan RMK-12,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga telah menggariskan 10 Bidang Keberhasilan Utama Negeri dengan memberi tumpuan kepada 316 Petunjuk Prestasi Utama, termasuk pembangunan fizikal dan komuniti luar bandar.
“Justeru, kita di KPLB Sabah menggunakan penetapan KPI ini sebagai asas kepada input kementerian kita untuk RMK-12 di peringkat Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri,” katanya.
Persidangan selama dua hari bermula hari ini itu, bertemakan “Pembangunan Seimbang Mensejahterakan Luar Bandar” mencakupi visi KPLB Sabah, aspirasi rakyat Sabah dan wawasan Kerajaan Negeri.
Antara yang dibincangkan sepanjang persidangan itu ialah Perancangan Pembangunan Luar Bandar Sabah Dalam Konteks RMK-12; Program KPLB Persekutuan Ke Arah Memakmurkan Kesejahteraan Luar Bandar Negeri Sabah Dalam Konteks RMK-12; Dapatan Kajian Pelan Pembangunan Daerah Sebagai Penunjuk Arah Pembangunan Yang Holistik Di Kawasan Luar Bandar; dan Ke Arah Pendigitalan Kajian Dengan Prospektif Luar Bandar.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Madius Tangau dan Datuk Christina Liew, menteri-menteri kabinet, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis dan Hj.Dumi Masdal, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Haji Safar Untong, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan serta para pegawai daerah. –TAMAT–
