28 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pelajar perlu ceburi sektor minyak dan gas: Masidi

Masidi menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang


RANAU: Para pelajar di sini diseru untuk merancang terlebih dahulu apa bidang pengajian yang bakal mereka ikuti sebelum menyambung pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi kelak.


Menteri Kewangan Sabah yang juga Adun Karanaan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, ini bagi mengelakkan mereka terjebak ke dalam lingkungan mereka yang terpaksa mengikuti sesuatu aliran yang tidak diminati.


“Ada pelajar yang hanya menyambung pengajian dan berisiko untuk keluar sebagai graduan tanpa prospek pekerjaan yang baik,” ujar beliau dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2023 Sekolah Menengah Agama Al-Irsyadiah Ranau.


Ujar Masidi lagi, terlalu ramai graduan lepasan universiti dan kolej yang kini gagal untuk mendapatkan pekerjaan yang baik sungguhpun memiliki ijazah atau diploma.


Ini, katanya, disebabkan mereka hanya memilih jurusan yang mudah namun tidak berdaya saing atau menjanjikan pendapatan yang lumayan.
Beliau berkata, sektor yang berdaya saing dan menjanjikan pendapatan yang lumayan di Sabah pada masa ini dan akan datang adalah sektor minyak dan gas.


Menurut beliau, sektor tersebut sangat-sangat memerlukan prospek yang berlatarbelakangkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.


“Melalui Perjanjian Kolaborasi Komersil Antara Kerajaan Negeri Sabah dan Petronas, sebanyak RM5 bilion telah diperuntukkan oleh Petronas khusus untuk kontrak-kontrak dalam sektor minyak dan gas. Ini sepatutnya dimanfaatkan oleh pemain-pemain industri anak-anak Sabah.


“Malangnya, daripada jumlah tersebut, hanya 11 peratus daripada perolehan kontrak-kontrak adalah terdiri daripada syarikat-syarikat yang berasal daripada Sabah dan dimiliki oleh anak jati Sabah.


“Untuk itu, bagi menghasilkan pemain industri yang unggul, pelajar-pelajar Irsyadiah yang berlatar belakangkan agama seharusnya mengambil peluang dengan mengasimilasikan keagamaan dan juga merebut peluang berkenaan,” katanya.


Seubungan dengan itu, Masidi menyeru para pelajar memilih jurusan berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik sebagai pilihan pengajian kelak bagi memenuhi kehendak dalam sektor berkenaan.


Beliau berkata demikian dihadapan kira-kira 250 orang yang terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan guru dalam majlis yang diadakan di Foyer SMA Al Irsyadiah.


Terdahulu, Sekolah Menengah Agama Al-Irsyadiah mencatatkan peningkatan akademik selama 5 tahun berturut-turut dan berjaya dinobatkan sebagai sekolah terbaik di daerah Ranau dengan pencapaian cemerlang selama 2 tahun berturut-turut iaitu GPS 3.10 pada tahun 2022 dan GPS 2.48 pada tahun 2023.


Dalam majlis tersebut, Masidi menyampaikan Anugerah Wangsa Mutia kepada 3 pelajar yang memperoleh 11A dalam SPM iaitu Marsa Ulfa Binti Baharuddin, Eqah Syamimi Binti Ahinin @ Hajin dan Syahzwan Arash Bin Khairudin @ Amiudin, serta Anugerah Pelajar Terbaik STAM 2023 (Kategori Peperiksaan Awam) kepada Siti Ain Syafiqah Binti Munib yang memperoleh keputusan Jayyid.


Ekoran kecemerlangan sekolah tersebut, Masidi meluluskan pembinaan sebuah Dewan Serbaguna SMA Al-Irsyadiah Ranau dengan peruntukan berjumlah RM200,000, Sistem Takungan & Saliran (Tangki) berjumlah RM27,700 dan Insentif Kecemerlangan Guru-Guru berjumlah RM10,000.


Turut hadir dalam majlis tersebut ialah ADUN Dilantik, Datuk Amisah Yassin, Pengerusi Pengelola Lembaga Pengurusan Sekolah, Datuk Hj Faimin Kamin, Pengetua SMA Al-Irsyadiah Ranau, Ustaz Esibi Lakui dan para pelajar, ibu bapa dan guru.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN