28 C
Kota Kinabalu
Ahad, Februari 25, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pelajar B40 UMS redah Hutan dan Bukit untuk Hadir ke Majlis Konvokesyen

Jasri (tengah) bergambar bersama ibu dan ayahnya.

Oleh: Siti Noratiqah Muhammad

KOTA KINABALU: Pelajar B40 Universiti Malaysia Sabah (UMS) sanggup meredah bukit dan hutan bagi mendapatkan talian internet untuk mengesahkan kehadiran ke Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-22.

Jasri Mangi, 24, berasal dari daerah pedalaman Pensiangan bertekad hadir ke istiadat tersebut semata-mata ingin membawa kedua ibu bapanya melihat dirinya menerima penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dengan Kepujian, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP).

“Bila saya tahu pihak UMS ingin mengadakan Majlis Konvokesyen yang sudah tertangguh dua tahun akibat pandemik Covid-19, saya berasa sangat teruja dan melakukan persediaan dengan lebih awal.

“Saya menaiki bukit di kawasan Salung Pensiangan untuk mengisi maklumat menghadiri konvokesyen kerana di kawasan saya, liputan internet sangat teruk.

“Saya juga mencari sumber kewangan dengan bekerja sementara sebagai pemeriksa barang di salah sebuah kedai di Salung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang terakhir Majlis Konvokesyen UMS di sini, hari ini.

Mengimbas kembali ketika menerima kunjungan UMS bersama surat tawaran, Jasri memaklumkan bahawa beliau tidak menyangka peluang itu memberikan satu perjalanan baharu yang mengubah pandangan hidupnya untuk terus berjaya.

“Tawaran yang diberikan UMS merupakan satu peluang terbesar untuk saya. Walaupun saya berasa gembira ketika menerima surat tawaran namun jauh di sudut hati masih ada perasaan tidak yakin kerana saya bukan daripada keluarga yang berada.

“Dengan bantuan yang dihulurkan oleh UMS, akhirnya saya dapat menjejakkan kaki ke sini untuk melanjutkan pelajaran di mana ia merupakan langkah pertama untuk saya mengejar cita-cita.

“Saya sangat berharap pihak UMS meneruskan usaha membantu pelajar dalam kalangan B40 meneruskan pelajaran di peringkat pengajian tinggi,” katanya yang turut menceritakan cabaran yang dihadapi termasuk menyewa kenderaan dan bermalam bersama ibu bapa di rumah kenalan.

Dalam pada itu bapanya, Mangi Ambalau menyifatkan anak keduanya itu sebagai seorang yang mempunyai semangat kuat dan menjadi contoh kepada adik beradik yang lain.
“Saya sangat bangga melihat semangat dan keteguhannya untuk menamatkan pengajian di UMS ini. Dia adalah contoh baik yang boleh menjadi inspirasi adik-adiknya walaupun kami berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan,” tambahnya.

Ibunya, Orom@Kapit Ampalus pula memaklumkan, beliau gembira melihat kejayaan anaknya meraih ijazah yang diidamkan.

“Saya gembira anak saya sudah tamat pengajian dan berharap dia boleh mendapat kerja yang baik selepas ini,” ujar beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN