30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PDRM sentiasa mempastikan tahap keselamatan penduduk terjamin

DSP Simiun Lomudin merakam gambar bersama penduduk Kg Poring

RANAU: Penduduk kampung dinasihatkan agar tidak perlu risau dengan penularan isu penculikan kanak-kanak yang tular di media sosial sebelum ini kerana pihak polis sentiasa mempastikan tahap keselamatan penduduk terjamin.

Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata, apa yang tular di media sosial sebenarnya sengaja direka pihak tidak bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana tidak tenteram dan menakut-nakutkan masyarakat.

“Selagi pihak polis tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang isu-isu penculikan seperti mana yang di tularkan, perkara itu tidak benar dan penduduk kampung tidak perlu risau”. Tegasnya.

Simiun turut menjelaskan, moto PDRM ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’ sentiasa dipegang oleh setiap Pegawai dan Anggota untuk sentiasa mendekati masyarakat dan mengambil berat sebarang permasalahan yang dihadapi termasuk soal keselamatan komuniti.

Katanya, setakat ini hubungan penduduk kampung dengan pihaknya begitu erat dan perlu diteruskan agar jalinan kerjasama dapat mempastikan keselamatan sentiasa dalam keadaan terjamin.

“Hubungan erat masyarakat dengan pihak PDRM perlu diteruskan agar kita saling dapat bertukar-tukar pendapat untuk mempastikan keselamatan komuniti sentiasa terjamin. Keharmonian itu bakal mencapai visi dan misi PDRM sesuai dengan moto yang kami pegang”. Jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Kepolisan Komuniti Dan Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Kg.Poring dekat sini pada Jumaat lepas.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan agar penduduk kampung khasnya golongan belia menghindari gejala sosial seperti penyalahgunaan najis dadah, menghidu gam dan ketagihan meminum air ketum yang merosakkan diri sendiri dan masa depan.

Jelasnya, pihak polis tidak akan berkompromi dengan isu-isu sosial seumpama itu dan tindakan tegas akan diambil jika didapati melakukan kesalahan tersebut.

DSP Simiun Lomudin mengetuai konvoi bermotosikal bermula dari IPD Ranau menuju ke Kg Poring.

Simiun turut mengingatkan agar penduduk kampung tidak memiliki atau membuat sebarang senjatapi tanpa lesen atau Bakakuk kerana perbuatan itu termaktub dalam kesalahan Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman berat jika disabitkan kesalahan.

“Memiliki atau membuat senjatapi tanpa lesen merupakan kesalahan serius di bawah Akta Senjatapi. Justeru, elakkan melakukan kesalahan tersebut”. Tegasnya lagi.

Sebelum itu, Simiun mengetuai konvoi bermotosikal seramai 30 orang Pegawai dan Anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau menuju ke kampung tersebut dan turut mendapat kerjasama 25 orang ahli Kelab bermotosikal Ranau, Highland Big Bikes Club (HBBC).

Program itu adalah sebahagian daripada usaha PDRM Daerah Ranau untuk mendekati penduduk kampung untuk memberikan nasihat mengenai keselamatan semasa selain beramah mesra dengan komuniti.

Turut hadir adalah Jonis Radani, Ketua Kampung Poring, Jainis Gatiban, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg.Poring serta Pegawai dan Anggota daripada IPD Ranau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN