Presiden Sinarut Football Club, Erwin John (duduk dua kanan), merakam gambar kenangan bersama rakan-rakan selepas mesyuarat selesai.
Oleh: Salwah Aramat
RANAU,: Peminat bola sepak di daerah ini dan kawasan sekitarnya dijemput untuk memeriahkan Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Jonathan Yasin anjuran Sinarut Football Club yang akan berlangsung pada 1 hingga 3 Mei 2026 di Padang Kampung Sinarut Baru, di sini.
Menurut Presiden Sinarut Football Club, Erwin John, kejohanan berstatus ‘Open Ranau’ itu menghadkan penyertaan kepada 32 pasukan sahaja dan dijangka menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dari sekitar Ranau serta kawasan berhampiran.
Beliau berkata, penganjuran kejohanan ini bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat baharu dalam sukan bola sepak, malah menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan belia dan komuniti setempat.
“Selain menggalakkan penyertaan aktif belia dalam sukan, kejohanan ini juga diharap dapat menjadi medan persaingan sihat serta memperkukuh perpaduan komuniti melalui bola sepak,” katanya.
Menariknya, kejohanan ini menawarkan hadiah lumayan kepada para pemenang apabila juara bakal membawa pulang RM5,000 berserta piala dan pingat, manakala naib juara menerima RM3,000 bersama piala dan pingat.
Bagi tempat ketiga bersama, setiap pasukan akan menerima RM1,000 serta piala dan pingat sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM650 bagi setiap pasukan, dan setiap penyertaan turut disertakan dengan perkhidmatan jurugambar percuma sepanjang kejohanan berlangsung.
Sehubungan itu, pasukan-pasukan yang berminat disaran untuk segera mendaftar memandangkan tarikh tutup penyertaan adalah pada 28 April 2026 atau sebaik sahaja kuota 32 pasukan dipenuhi.
Untuk sebarang pertanyaan dan pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi Afiq (012-864 8409), Fariz (010-816 8125) atau Eral (011-2532 1055).



