Dr. Bonaventure Boniface
KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) N.14 Tamparuli, Dr. Bonaventure Boniface menggesa semua pemimpin politik supaya menghormati sensitiviti agama dan tidak menjadikan teks atau simbol keagamaan sebagai bahan jenaka dalam usaha meraih sokongan politik.
Beliau berkata agama dan kepercayaan masyarakat tidak seharusnya dijadikan bahan sindiran atau punchline politik, khususnya dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.
Katanya, kenyataan berbentuk jenaka yang dilaporkan melibatkan seorang paderi, seorang biarawati (sister) dan Mazmur 129, yang dikaitkan dengan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, pada Perhimpunan Agung UMNO, wajar dipandang serius.
“Ini bukan soal siapa parti mana, tetapi soal prinsip. Jika kita benar-benar menghormati masyarakat majmuk, maka penghormatan terhadap agama mesti diberikan kepada semua pihak secara sama rata.
“Tidak boleh ada satu standard apabila menyentuh agama sendiri dan standard yang berbeza apabila menyentuh agama orang lain,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dr. Bonaventure berkata seruan supaya isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) tidak dipermainkan secara tidak bertanggungjawab perlu dilaksanakan secara konsisten oleh semua pihak tanpa mengira parti atau kedudukan politik.
Beliau berkata pemimpin politik mempunyai tanggungjawab lebih besar kerana setiap kenyataan yang dibuat di khalayak ramai boleh memberi kesan lebih luas, terutama dalam masyarakat yang mempunyai latar belakang agama dan budaya yang pelbagai.
“Kalau mahu berpolitik, berpolitiklah dengan hujah. Kalau mahu berdebat, debatlah mengenai dasar. Kalau mahu mengkritik lawan politik, kritiklah prestasi, polisi dan keputusan mereka.
“Jangan gunakan kepercayaan agama sebagai bahan untuk mendapatkan ketawa dan sokongan politik,” katanya.
Menurutnya, Sabah mempunyai tradisi keharmonian antara masyarakat pelbagai agama dan kaum yang perlu terus dipelihara, bukannya dipertaruhkan melalui kenyataan yang boleh menyinggung sensitiviti keagamaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Noorazli menarik balik kenyataan berkenaan dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Kristian sekiranya kenyataan tersebut telah menyinggung atau melukakan perasaan penganut agama berkenaan.
Dr. Bonaventure berkata permohonan maaf tidak seharusnya dianggap sebagai tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan keberanian dan kematangan seorang pemimpin untuk bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat.
Beliau turut menegaskan bahawa perbezaan parti dan ideologi merupakan perkara biasa dalam sistem demokrasi, namun perkara berkaitan agama, kepercayaan dan maruah masyarakat perlu dihormati oleh semua pihak.
“Pentas politik adalah tempat untuk berbahas mengenai dasar dan masa depan rakyat, bukan tempat memperlekehkan Tuhan, kitab suci atau kepercayaan orang lain,” katanya.
Beliau berharap isu berkenaan menjadi peringatan kepada semua pemimpin politik supaya menggunakan kebebasan bersuara secara bertanggungjawab serta sentiasa mengambil kira sensitiviti masyarakat dalam memastikan keharmonian dan perpaduan terus terpelihara.



