Gambar : Joanne (depan), bersama Joy (guru Bahasa Inggeris) dan pelajar Tahun 6
PROGRAM Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu komponen daripada Amalan Profesional bagi pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Kementerian Pelajaran Malaysia. Pelaksanaan PBS dapat memberi kefahaman awal kepada pelajar tentang alam persekolahan daripada perspektif seorang guru.
PBS juga memberi peluang kepada pelajar memahami sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan, peranan guru di dalam bilik darjah melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru serta komuniti sekolah. Melalui PBS pelajar dapat memahami sistem pengurusan sekolah, tingkah laku murid, pengurusan bilik darjah dan tugas sebenar seorang guru.
Salah seorang pelajar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa, PSIMP Ambilan Jun 2021, Mary Joanne James, 20 tahun, berkata, menjalani program PBS walaupun hanya seminggu di Sekolah Kebangsaan Nalapak Ranau memberikan banyak pengalaman baharu baginya menyelami tugas sebenar seorang guru seperti bagaimana mengendali murid dalam kelas, rutin seharian seorang guru dan program peningkatan profesionalisme.
Menurut Joanne, (bakal guru yang akan mengajar subjek Bahasa Inggeris atau TESL) tugas seorang guru bukanlah semudah yang disangka. Peranan dan tanggungjawab utama guru ialah merancang aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berdasarkan Sukatan Pelajaran dan melaksanakannya dalam bilik darjah mengikut strategi pengajaran yang sesuai.
“Melalui pemerhatian yang telah saya lakukan sepanjang melaksanaan PBS, saya mendapati bahawa guru-guru mempunyai teknik tersendiri dalam mengendalikan pelajar terutamanya semasa proses PdP berlangsung. Misalnya, terdapat beberapa guru yang menggunakan Teori Behaviourisme untuk mengendalikan murid di dalam kelas mereka. Dalam hal ini guru tersebut menjanjikan ganjaran kepada pelajar yang berjaya mengikuti proses PdP dengan aktif dan teknik yang digunakan itu menunjukkan kesan yang memberangsangkan kerana murid menjadi lebih berani untuk mencuba memberi jawapan kepada soalan yang diajukan serta mereka menjadi lebih fokus dalam kelas,”katanya.
Menurut Joanne, sepanjang seminggu berada bersama guru-guru SK. Nalapak, dia mendapati bahawa guru-guru mempunyai jadual atau rutin yang padat. Guru-guru sentiasa sibuk di bilik guru, ke bilik pentadbiran, makmal komputer, pusat sumber dan tempat-tempat lain untuk melaksanakan tugas seperti mengajar dalam kelas serta melengkapkan dokumen-dokumen sekolah yang ditugaskan kepada mereka.
“Pada hari Selasa bersamaan 22 Mac, saya berpeluang mengikuti Program Bengkel PLC dan Pedagogi Pembelajaran Terbeza yang telah dijalankan di Makmal Komputer SK. Nalapak. Aktiviti yang dijalankan ini banyak memberi pengetahuan baharu kepada saya terutamanya mengenai Teknik Pengajaran Terbeza di mana proses PdP dilaksanakan menggunakan kandungan, proses, persekitaran atau produk yang diubah-ubah sesuai dengan minat dan tahap penguasaan pelajar,”katanya.
“Saya sangat bersyukur atas kesempatan yang diberikan untuk melaksanakan Program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) fasa 1 di SK. Nalapak, tempat saya menimba ilmu suatu ketika dahulu. Hal ini adalah kerana guru-guru di sekolah ini sangat prihatin dan mereka banyak membantu saya mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk melengkapkan tugasan-tugasan PBS. Selain itu, kemesraan komuniti sekolah juga banyak membantu saya untuk beradaptasi sepanjang saya melaksanakan PBS ini,”ujarnya lagi.
Ketika diajukan pertanyaan, adakah dapatan program PBS membantu meningkatkan nilai seorang guru dalam diri, Joanne yang juga seorang bekas pelajar cemerlang Tahun 6 yang mendapat 5A di sekolah itu berkata, “Program PBS yang telah saya jalani sepanjang seminggu ini membolehkan saya untuk melihat sekolah dari perspektif seorang guru. Hal ini membantu saya untuk lebih memahami tugas seorang guru di sekolah dan khasnya tugas mereka semasa berada di dalam bilik darjah,”katanya.
“Sehubungan dengan itu, segala nasihat, perkongsian ilmu dan perkongsian pengalaman oleh guru-guru SK. Nalapak sepanjang saya melaksanakan PBS amat saya hargai dan akan saya ingati serta akan dipraktikkan semasa mula bertugas kelak dengan harapan untuk tidak menjadi seseorang yang hanya bergelar cikgu pada nama tetapi seorang guru yang betul-betul mempunyai jiwa pendidik,” katanya mengakhiri temubual.