JOHAN….. Pahat yang dinobatkan johan kategori 65-69 tahun bersama pingat emas dan piala rebutan.
LABUAN: Pemain lagenda sukan Badminton Wilayah Persekutuan Labuan, Pahat Chalan muncul johan Kejohanan Badminton Antarabangsa Empat Musim (Four Seasons International Badminton Champianship) 2023 yang diadakan di Kompleks USM Gelugor Pulau Pinang baru-baru ini.
Pahat, 67, memperolehi pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki kategori umur 65-69 tahun selepas menewaskan bekas pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia Senior 2015 dan 2017, Chan Wan Seong (Malaysia) dengan keputusan 30-29 peringkat akhir kejohanan tersebut.
Selain membawa pulang kilauan emas beliau juga turut menjulang sebuah piala rebutan kejohanan.
Sebelum itu, Pahat yang merupakan pemain pilihan ke tiga diperingkat kumpulan menewaskan pemain dari Rusia, Mhitarian dan pemain Thailand, AB Naidu untuk menjuarai kumpulan B sekaligus melayakkan beliau ke peringkat separuh akhir.
Di peringkat Separuh akhir, Pahat yang juga merupakan jurulatih atlit badminton paralimpik Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menewaskan Tan Pick Eng dengan keputusan 30-23 untuk mara ke perlawanan akhir.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu disertai lebih 400 peserta melibatkan pelbagai kategori yang turut disertai oleh pemain luar negara.
Antara negara luar yang menyertai kejohanan anjuran Four Season Badminton Club itu ialah Thailand, Vietnam, Rusia, Korea, Jepun dan Singapura serta Malaysia.



