SERTAI GRS… Freddy Ekol (kanan) menyerahkan borang keahlian PGRS kepada Datuk Mandela sambil disaksikan yang lain.
PENAMPANG: Pengerusi Majlis Wira Emas STAR Sabah Datuk Michael Malanjun, Ahli Majlis Tertinggi STAR Sabah Freddy Ekol dan James Kenson hari ini menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersama lebih 100 penyokong mereka.
Borang keahlian mereka diserahkan kepada Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Penampang Datuk Ceasar Mandela Malakun dalam satu pertemuan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Kota Kinabalu (ITCC), di sini.
Michael berkata keputusan menyertai Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah bagi meneruskan perjuangan serta sumbangannya kepada Sabah berdasarkan pengalaman yang dimiliki.
“Perjuangan saya selama ini adalah untuk Sabah dan saya masih mahu menyumbang. Saya melihat GRS sebagai wadah untuk saya meneruskan perjuangan itu dan menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu Sabah dan rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata pendekatan kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor turut menjadi antara pertimbangan beliau untuk bersama GRS.
“Saya suka gaya kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji. Saya percaya masih banyak yang boleh saya sumbangkan dan saya mahu memainkan peranan, setakat yang saya mampu, untuk membantu Sabah bergerak ke hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ceasar mengalu-alukan penyertaan Michael, Freddy, James serta penyokong mereka, sambil menyifatkan pengalaman dan latar belakang setiap individu sebagai aset yang boleh dimanfaatkan untuk masyarakat dan Sabah.
“Saya mengalu-alukan Datuk Michael, Freddy, James dan semua rakan yang bersama kita hari ini. Mereka masing-masing membawa pengalaman sendiri dan saya percaya semua itu boleh digunakan untuk sesuatu yang baik bagi masyarakat dan Sabah,” katanya.
Beliau berkata GRS perlu terus menjadi wadah terbuka kepada pelbagai golongan, termasuk golongan profesional, ahli perniagaan, anak muda dan pemimpin masyarakat yang mahu menyumbang kepada pembangunan negeri.
“GRS sentiasa terbuka. Bukan hanya kepada orang politik. Kalau anda seorang profesional, ahli perniagaan, anak muda, pemimpin masyarakat atau sesiapa sahaja yang mempunyai idea dan keinginan untuk menyumbang kepada Sabah, ada ruang untuk kita bekerja bersama.
“Kita mungkin datang daripada parti, latar belakang dan perjalanan yang berbeza. Itu tidak seharusnya menghalang kita daripada bekerjasama apabila matlamatnya sama iaitu mahu melihat Sabah maju dan kehidupan rakyat menjadi lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Ceasar berkata penyertaan baharu dalam parti perlu disusuli komitmen dan kerja di lapangan, khususnya dalam mendengar serta menangani keperluan masyarakat.
“Bagi saya, yang penting bukan berapa ramai yang masuk parti pada satu-satu hari. Yang lebih penting ialah apa yang kita lakukan selepas itu.
“Kita mahu ahli-ahli kita turun ke lapangan, dengar masyarakat dan bantu apa yang kita boleh.
“Politik sepatutnya akhirnya membawa kepada satu perkara yang mudah: bagaimana kita boleh menyumbang kepada rakyat dan kepada Sabah,” katanya.
Majlis penyerahan borang keahlian itu turut disaksikan Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat Datuk John Ambrose.
Turut hadir Naib Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Penampang Datuk Aminah Ambrose, Setiausaha Bahagian Daniel Edmund, Bendahari Salis Dingon dan Ketua Penerangan Petrus C. Mojuntin.



