Taklimat oleh PDRM sebelum operasi mencari dijalankan
RANAU: Misteri seorang lelaki warga Filipina yang dilaporkan hilang di hutan beberapa hari yang lalu terjawab setelah individu tersebut ditemui semula dalam keadaan yang baik berhampiran sebuah sungai di sini pada petang Khamis.
Walaubagaimanapun, sejurus selepas diselamatkan, ‘mangsa’ berkenaan seterusnya ditangkap apabila didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Lelaki berumur 31 tahun itu dilaporkan hilang di sebuah kawasan hutan berhampiran Sub Stesen Mesilou Nature Resort, Kundasang, Ranau dan ditemui semula di kawasan Sungai Mesilou 2 empat hari kemudian.
Misi pencarian dan menyelamat bermula pada 30 Jun 2025 apabila pihak Balai Polis Kundasang telah menerima laporan daripada seorang pengadu memaklumkan bahawa seorang individu lelaki warga Filipina disyaki hilang setelah memasuki kawasan hutan berkenaan.
Ekoran daripada laporan tersebut, Ketua Polis Daerah Ranau, P/Supt Mursalin bin Mahmud telah bertindak mengarahkan Pegawai Kanan Polis di Gerakan IPD Ranau, Inspektor Siti Junita binti Sutian untuk mengatur gerak satu pasukan khas bagi misi pencarian dan menyelamat, Search and Rescue (SAR) orang hilang (OH) termasuklah memohon bantuan dari Unit Drone dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah.
Selain itu pihak PDRM IPD Ranau turut dibantu oleh beberapa agensi kerajaan dan swasta termasuklah pihak Bomba, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Komuniti Maragang Hill Mesilou dan Taman-Taman Sabah serta team Mobile Search and Rescue (MOSAR)
Misi pencarian dan menyelamat berakhir pada 3 Julai 2025 setelah Balai Polis Kundasang menerima makluman daripada petugas Ranger, Bahagian Penguatkuasa Sub Stesen Mesilou Nature Resort, Kundasang lebih kurang jam 4.35 petang, mengatakan bahawa individu itu telah dijumpai.
Seterusnya, individu tersebut telah dibawa oleh pasukan dari Balai Polis Kundasang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
Hasil siasatan dan semakan rekod pengenalan diri mendapati individu tersebut disyaki memasuki dan tinggal di Malaysia tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Individu tersebut telah diserahkan kepada pihak Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ranau dan kes disiasat dibawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Pihak PDRM IPD Ranau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat yang telah memberi maklumat dan bekerjasama dalam misi pencarian dan menyelamat ini sehingga ke peringkat penemuan semula individu itu.