26 C
Kota Kinabalu
Khamis, Julai 18, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Naib Canselor UMS Pesan Graduan Bayar Balik PTPTN

Kasim (depan dua kiri) ketika sesi sidang media.

Oleh : Elfyeyon Jupinin

KOTA KINABALU: Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor mengingatkan para graduan untuk tidak lupa menunaikan tanggungjawab membuat pembayaran balik semula pinjaman kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurutnya, pembayaran itu bagi memastikan dana negara mencukupi untuk menampung pelajar-pelajar lain yang masih menuntut dan bakal masuk ke universiti.

“Fungsi utama PTPTN adalah untuk menguruskan pembiayaan kewangan dan pinjaman pelajaran pengajian tinggi kepada mahasiswa yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia.

“Ia telah membantu para graduan dari sejak awal menjejakkan kaki ke universiti sehinggalah berjaya bergraduasi.

“Oleh itu, para graduan perlu mengutamakan bayaran balik PTPTN setelah mendapat pekerjaan kelak,” ujarnya dalam sidang media pada Majlis Konvokesyen UMS ke-24.

Kasim berkata, pembayaran itu juga bagi mengelakkan para graduan menghadapi kesulitan pada masa akan datang.

“Kegagalan untuk membuat pembayaran boleh menyebabkan mereka boleh disenarai hitam oleh institusi perkhidmatan kewangan yang lain.

“Atau dalam senario yang lebih jauh, kita risau mereka juga mungkin berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Jadi saya ingin berpesan sekali lagi, agar apabila para graduan sudah memperoleh pendapatan atau bekerja kelak, utamakan pembayaran semula pinjaman PTPTN,” katanya.

Kasim turut mengucapkan tahniah kepada 4,298 orang graduan yang bergraduasi pada Majlis Konvokesyen UMS Kali ke-24.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN