25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 12, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Mini Karnival Koperasi Tenom semarakkan Bulan Koperasi Kebangsaan 2025

Ewon menyampaikan surat tawaran UKKM kepada seorang pelajar dari Tenom, pada majlis itu.

TENOM: Mini Karnival Koperasi Peringkat Daerah Tenom antara inisiatif bagi menyemarakkan sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2025, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan penyertaan masyarakat dalam gerakan koperasi, terutama di kawasan luar bandar negeri ini.

“Karnival ini merupakan salah satu pengisian penting dalam usaha mengangkat martabat gerakan koperasi negara yang kini menjadi antara penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara.

“Saya berharap penganjuran ini dapat memberi impak positif kepada koperasi-koperasi di daerah Tenom serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” katanya semasa merasmikan Mini Karnival Koperasi itu, di sini, kelmarin.

Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 akan diadakan di MITC, Melaka pada 25 hingga 27 Julai ini, sebagai kemuncak kepada sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan.

Ewon turut berkongsi beberapa kisah kejayaan koperasi di peringkat nasional yang boleh dijadikan inspirasi dan motivasi kepada koperasi-koperasi di Tenom untuk turut mencipta kejayaan.

“Saya berbangga melihat koperasi-koperasi di Tenom terus aktif. Ada yang baru bermula tetapi telah menunjukkan permulaan yang sangat memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan meneruskan inisiatif sedia ada serta memperkenalkan program baharu seperti Program Jejak Koperasi dan cadangan pindaan Akta Koperasi, sebagai langkah proaktif menyokong pertumbuhan sektor koperasi.

“Saya ingin melihat gerakan koperasi di Sabah bersaing secara sihat dan setanding dengan negeri-negeri lain di seluruh negara,” katanya.

Program Jejak Koperasi yang dilancarkan pada tahun lalu bertujuan mempersiapkan koperasi dalam sektor pelancongan dan hospitaliti menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Setakat ini, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM1.026 juta kepada 94 koperasi di seluruh negara di bawah program ini,” katanya.

Ewon berkata, pada tahun 2024, sektor koperasi telah mencatatkan perolehan tahunan sebanyak RM68.18 bilion, dengan lebih 1,000 koperasi baharu didaftarkan setiap tahun sejak 2023.

“Kini terdapat 16,284 koperasi aktif di seluruh negara dengan keanggotaan melebihi 7.2 juta orang.

“Koperasi-koperasi ini juga berjaya mengumpulkan syer dan yuran sebanyak RM18.3 bilion, manakala jumlah aset keseluruhan melepasi RM173 bilion. Ini membuktikan peranan penting koperasi dalam struktur ekonomi negara.

“Saya berharap koperasi-koperasi di Tenom dapat terus memperkukuh tadbir urus dan operasi perniagaan agar mencapai kejayaan dan memberikan manfaat kepada ahli serta komuniti setempat,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen KUSKOP untuk terus membangunkan gerakan koperasi termasuk mengangkat produk dan perkhidmatan mereka ke peringkat antarabangsa, agar koperasi tempatan kekal berdaya saing dan berwibawa.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN