31 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 14, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Minggu Anti Buli 2025 MRSM Ranau kearah mensifarkan budaya buli dalam kalangan pelajar

Ismail, Mohamad Shamsul, ASP Mohammad Khairun dan lain-lain, bersama para pelajar MRSM Ranau dalam program itu

RANAU: Dalam usaha mensifarkan budaya buli dalam kalangan pelajar, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau telah mengadakan Pelancaran Minggu Anti Buli 2025 di sekolah berkenaan baru-baru ini.

Minggu Anti Buli MRSM Ranau 2025 yang diisi dengan pelbagai aktiviti berkaitan itu telah dirasmikan oleh Pengetua MRSM Ranau, Ismail Bin Badri.

Menurutnya, program ini dilaksanakan serentak di seluruh MRSM Se-Malaysia yang diselaraskan oleh Bahagian Pendidikan Menengah, MARA (BPM).

Tambahnya, Minggu AntiBuli ini menjadi simbol serta inisiatif untuk mensifarkan budaya buli dalam kalangan pelajar.

Antara pengisian menarik sepanjang program ini ialah; Pameran poster anti buli; Ceramah Kesedaran Buli; Aku Janji Anti Buli; Bacaan Ikrar Anti Buli; Anugerah Ikon Sahsiah; Persembahan sajak bertajuk “Hentikan Buli, Sebarkan Kasih”; dan pelbagai lagi aktiviti kesedaran yang dirancang.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan MRSM Ranau, barisan guru-guru, Badan Wakil Pelajar (BWP) serta semua pelajar atas komitmen, kerjasama dan semangat menjayakan Minggu Anti Buli ini.

“Bersama kita membina persekitaran Maktab yang lebih selamat, harmoni dan penuh kasih sayang.
“MRSM Ranau sentiasa komited untuk membanteras budaya buli demi melahirkan generasi yang berakhlak mulia. Semoga program ini memberi kesedaran dan menyemai nilai hormat serta kasih sayang dalam diri semua pelajar,” katanya.

Sementara itu, pada hari kedua Minggu AntiBuli, pengisian dimulakan dengan Pembudayaan MRSM (Bertanggungjawab) yang telah disampaikan oleh Timbalan Pengetua Pembangunan Pelajar MRSM Ranau, Mohamad Shamsul Haq Bin Mohamad Hanif.

Seterusnya, telah diadakan Ceramah AntiBuli bertajuk “Jenayah Buli Dalam Kalangan Pelajar Serta Implikasi Perundangan” yang disampaikan oleh Ketua Cawangan Khas IPD Ranau merangkap Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) MRSM Ranau, ASP Mohammad Khairun Bin Zakaria,.

Ceramah ini memberikan penerangan mendalam tentang bahaya dan akibat perbuatan buli.

Pelbagai soalan yang diajukan oleh para pelajar menunjukkan mereka cakna dan komited untuk bersama-sama mensifarkan buli di MRSM Ranau.

Akhir sekali, program diteruskan dengan Tazkirah Maghrib dan Slot Moral bertajuk “Lidahmu Amanah Bukan Senjata” yang disampaikan oleh guru kepada semua pelajar.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN