Abidin menunjukkan ikan Pelian yang berjaya dipancingnya di pusat Memancing Berbayar Kira Jam di Kg Paus
RANAU: Para pelancong dalam dan luar negeri bakal disajikan dengna satu lagi produk pelancongan menarik dengan terlancarnya pusat Memancing Berbayar Kira Jam dan aktiviti rafting di Kg Paus.
Pusat tersebut telah dibuka secara rasminya oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir yang menyifatkannya sebagai satu inisiatif bernas daripada pemimpin dan penduduk kampung tersebut.
“Kita amat bersyukur kerana ada peluang untuk bersama sama dengan ahli-ahli AJK Tagal dan juga penduduk Kg Paus bagi melancarkan satu lagi inisiatif Tagal Kg Paus iaitu Memancing Berbayar Kira Jam.
“Inisiatif ini sungguh baik kerana ia akan menambah pendapatan bukan sahaja kepada ahli-ahli Tagal tetapi juga kepada penduduk Kg Paus. Sudah tentunya penduduk kampung sekitar juga akan mendapat tempias daripada aktiviti seperti ini.
“Ini juga membuka peluang kepada para pengunjung terutama daripada kalangan kaki pancing. Syabas dan tahniah kepada AJK Tagal Kg Paus kerana kini Tagal Kg Paus sudah terkenal di seluruh Daerah Ranau,” katanya.
Abidin yang juga ADUN Paginatan berkata, Sistem Tagal yang dipantau oleh Jabatan Perikanan bukanlah satu perkara yang baru dan ia diperkenalkan untuk tujuan utama memelihara hidupan semula jadi sungai dan hutan.
Dengan adanya sistem ini, katanya, generasi baru akan dapat menikmati keseronokan melihat sungai-sungai kita dipenuhi dengan ikan-ikan semulajadi.
“Mempelbagaikan aktiviti sungai sudah tentunya akan menarik lebih ramai pelancong bukan sahaja pelancong dalam negeri tetapi juga luar negeri. Saya jangkakan banyak sumber pendapatan yang dapat dijana dengan adanya aktiviti Tagal seperti ini,” katanya.
Abidin sempat memberi peringatan kepada para pemancing supaya sentiasa mematuhi peraturan yg ditetapkan oleh AJK Tagal dan AJK Tagal juga disarankan untuk sentiasa menjaga kelestarian sungai.
“Kita tidak mahu dengan aktiviti memancing yang berlebihan akan merosakkan eko sistem sungai dan ikan akan mengalami kepupusan,” katanya.

Boat sumbangan YB Datuk Abidin untuk aktiviti rafting, salah satu acara yang diperkenalkan oleh AJK Tagal Kg Paus
Tambah beliau, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membina Hydro di Kg Pudau yang berkapasiti 150 megawat. Ianya masih dalam proses pendataan. Dengan adanya Projek Hydro ini masalah bekalan letrik di Kawasan Mukim Paus dapat diselesaikan.
Dalam majlis tersebut beliau sempat meluluskan peruntukan sebanyak RM3,000 untuk maksud pembelian boat rafting bagi kegunaan Tagal Kg Paus.
Semenatara itu, Pengerusi Tagal Kg Paus, Julis Yabie mengalu-alukan kehadiran YB Datuk Abidin Madingkir bagi melancar satu lagi aktiviti Tagal Kg Paus iaitu Memancing Berbayar Kira Jam.
“Kita amat bersyukur kerana Tagal Kg Paus kini mendapat sambutan yang amat baik daripada pengunjung tempatan dan juga pelancong luar negeri.
“Salah satu inisiatif AJK Tagal Kg Paus untuk menambah sumber pendapatan adalah membuka kawasan Zon Merah 2 Lubuk No 1 untuk kegiatan Memancing secara berbayar.
“Kita sudah mengenalpasti kawasan lubuk ini memang mempunyai banyak ikan. Ini terbukti sebentar tadi di mana YB Datuk Abidin berjaya memancing dua ekor ikan Pelian (garap) dalam tempoh kurang dari 15 minit,” katanya.
Tagal Kg Paus telah dimulakan secara kecil kecilan pada tahun 2006. Pada tarikh 1 November 2024 akhirnya Tagal ini dibuka kepada orang ramai untuk tempat riadah dan aktiviti tagal secara serius. Ianya dijaga oleh ahli-ahli AJK 24 jam sehari.
Untuk perancangan masa depan, Tagal Kg Paus akan mempelbagaikan aktiviti sungai termasuklah Boat Rafting kepada para pengunjung.
“Kami amat memerlukan bantuan daripada YB Datuk untuk pembelian boat rafting tersebut dan juga membantu kami untuk membeli tenaga solar untuk keperluan Tagal Kg Paus,” katanya.
Ketua Kampung Dualis Guni berkata, bagi pihak penduduk Kg Paus mengucapkan syabas dan tahniah kepada AJK Tagal Kg Paus yang diketuai oleh Julis Yabi kerana berjaya membentuk AJK Tagal.
“Diharap tagal ini dapat memberi sedikit pendapatan kepada ahli-ahli Tagal iaitu penduduk kampung.
“Terima kasih kepada YB Datuk Abidin Madingkir kerana meluangkan masa bersama sama penduduk Kg Paus. Semoga dengan kehadiran YB Datuk akan memberi suntikan semangat kpd AJK Tagal untuk terus berusaha memajukan Tagal Kg Paus,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, KAN Dualis Porodtong, Ketua Penerangan StarSabah Paginatan, Suhaimin Duari, WKAN Luis Yunik, WKAN Petrus Kunsal dan para pemimpin masyarakat setempat.



