TERUJA… sebahagian daripada pengamal media Labuan ketika menyusuri sungai di Kilim Karst Geoforest Park Langkawi
LABUAN:Seramai 13 wartawan yang bernaung di bawah Persatuan Penggiat Media Labuan teruja apabila berkesempatan menerokai Geopark Global UNESCO Langkawi sempena lawatan media Labuan ke Pulau Langkawi anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang diadakan baru-baru ini.
Lawatan selama dua hari ke Langkawi itu diketuai oleh Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan, Jainudin Djimin serta turut diiringi oleh tiga pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Strategik Perbadanan Labuan diketuai oleh Penolong Pengarahnya, Nurul Ashikin Suhaili.
12 wartawan lain ialah dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia Labuan (Labuan FM), Jabatan Penerangan, Borneo Daily Bulletin (BDB), Sea Hua Daily News, Daily Express, Sabah360 Online dan Asia Times.
Semasa lawatan ke Descorvery Centre Langkawi UNISCO Global Geopark para wartawan telah diberi penerangan mengenai sejarah dan penemuan geopark yang terdapat di Langkawi oleh pegawai Pusat Penemuan Geopark (GDC) Mohammad Shauqi Md Rezali.

SERONOK….…pengamal media Labuan ketika berada di Langkawi Sky Bridge
Menurut Shauqi, Geopark Langkawi telah memberi impak yang cukup besar kepada sektor pelancongan di pulau tersebut dengan menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara.
Selain itu, para wartawan turut berpeluang mengunjungi beberapa tempat menarik di dalam Kilim Karst Geoforest Park dan tarikan-tarikan popular lain seperti Langkawi SkyCab (kereta kabel), jambatan langit dan gua kelawar.
Lebih menarik lagi mereka dapat menyaksikan secara dekat mengenai pemeliharaan ikan sangkar ‘Siakap” di salah sebuah resturan terapung serta menyaksikan sekumpulan helang merah menyambar makanan dari permukaan air di sepanjang sungai paya bakau Kilim Geoforest Park.