RANAU: Mayat seorang warga emas yang hilang di Kg Tinanom di sini akhirnya ditemui enam hari selepas kali terakhir dilihat keluar dari rumah untuk memeriksa perangkap ikan di sungai yang dinaiki air di tepi kampung itu.
Mangsa Moijin bin Gamiyan, 65 keluar untuk memeriksa perangkap ikannya di sepanjang Sungai Kelieu di tepi kampungnya pada 1 Januari, tetapi gagal pulang ke rumah atau menghubungi mana-mana ahli keluarganya.
Operasi (Search and Rescue) SAR bersepadu termasuk penduduk kampung dijalankan ekoran laporan kehilangan itu.
Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata pada 06 Januari 2022 (Op SAR hari ke-3), kira-kira jam 1.52 tengah hari, penduduk kampung bersama anggota mencari dan menyelamat menemui mayat lelaki dipercayai mayat mangsa di Sungai Kelieu dekat Kampung Betung Tinanom Ranau.
“Mayat dibawa ke Hospital Ranau untuk proses bedah siasat dan pengecaman oleh ahli keluarga. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan yang disiarkan kepada media pada Jumaat.
Terdahulu, Simiun berkata walaupun tiada sebarang laporan mengenai banjir di kampung itu, namun air sungai di ambang melimpah berikutan hujan lebat yang berlaku sejak Tahun Baharu.
Beliau berkata, mangsa keluar untuk memeriksa perangkap ikan yang diletakkannya di sepanjang Sungai Keliu, salah satu cabang saluran air dari sungai utama Liwagu Kagibangan yang meningkat jumlahnya.
Sementara itu, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Ranau diketuai ketua jabatan, PPgB Ridwan bin Mohd Taib bersama Pegawai Operasi PBK II Dennis Wan Jau menamatkan pengesanan dengan bantuan unit K9 dan Labrado bernama Lexi.
Selain anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, turut terlibat dalam pencarian pada Rabu ialah empat anggota polis, lima anggota APM, empat RELA dan kira-kira 30 penduduk kampung dari kawasan sekitar.
“Selepas operasi SAR meluas, mayat mangsa akhirnya ditemui kira-kira 1 kilometer dari kawasan dipercayai hilang. Terdapat cabaran terutamanya disebabkan cuaca yang tidak menentu,” kata Ridwan.
Dengan penemuan mayat itu, operasi mencari dan menyelamat orang hilang ditamatkan. Simiun merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus sepanjang operasi mencari dan menyelamat dijalankan.



