RANAU: Seorang remaja lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang dilaporkan hilang pada Khamis lalu dalam kawasan kebun di Kg.Miruru, di sini, ditemukan lemas pada Jumaat.
Mangsa, Carlson Konrad, berumur, 13, ditemukan terapung oleh penduduk kampung di Sungai Liwagu/Sugud, dekat Kg.Gambaron, Telupid kira-kira jam 8.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Simiun Bin Lomudin, berkata, tedahulu pihak polis telah menerima laporan yang dibuat bapa mangsa pada 15 Julai lalu berhubung kehilangan anaknya.
Katanya, ketika kejadian pengadu sedang berehat bersama anaknya di pondok dalam kawasan kebun selepas selesai berkebun sebelum tertidur.
DSP Simiun Lomudin
“Ketika pengadu terjaga dari tidur, dia menyedari anaknya tiada bersamanya lalu bertindak mencari sekitar kawasan pondok dan sungai.
“Bagaimanapun ketika sampai di sungai, pengadu mendapati perahu miliknya telah hilang dan cuba menjejaki mangsa di kawasan sungai namun gagal.
“Pengadu yang risau akan keselamatan anaknya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ranau berkaitan kehilangan mangsa,” katanya dalam kenyataan media hari.
Menurut Simiun, lebih kurang 8.30 pagi pada Jumaat, IPD Ranau telah menerima makluman daripada Balai Polis Telupid berkaitan penemuan satu mayat disyaki mangsa yang dilaporkan hilang di Kg.Miruru.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Ranau untuk tujuan pengecaman serta bedah siasat.
“Dengan penemuan ini, kes orang hilang dianggap selesai dan kes diklasifikasikan semula sebagai kes Sudden Death Report (SDR),” jelasnya.