Datuk Chin Chee Kee bersama keluarga ketika meraikan persembahan tarian singa di premis Noblehouse International Trust Ltd, pada Khamis.
LABUAN: Masyarakat Tionghua Labuan meraikan sambutan Tahun Baharu secara sederhana, namun tetap meriah apabila dikunjungi oleh masyarakat berbilang kaum sekali gus membuktikan semangat perpaduan di pulau ini tetap utuh.
Selain mengadakan rumah terbuka, persembahan Tarian Singa dan pemberian limau yang menjadi tradisi masyarakat Tionghua menyerlahkan lagi kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina.
Kehadiran Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Indera Suhaili Abdul Rahman ke beberapa majlis rumah terbuka pemimpin besar masyarakat Tionghua menyaksikan kesatuan masyarakat dalam suasana muhibah, harmoni dan saling hormat-menghormati.
Antara pemimpin besar Tionghua yang meraikan rumah terbuka pada hari pertama Tahun Baharu Cina ialah Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Labuan, Datuk Seri Robert Seah; Presiden Labuan Golf Club, Althur Kong; Pengerusi Eksekutif Noblehouse International Trust Limited, Datuk Chin Chee Kee; dan Pengarah Syarikat Wawasan Maju Sama, Chu Kim Kok.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Labuan, Datuk Wong Kii Yii akan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka pada 14 Februari ini yang dijangka turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan timbalannya, Datuk Lo Su Fui.



