24 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 13, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

MANSUH JASA-HENTIKAN POLITICKING, MADIUS GESA KERAJAAN PATUH TITAH AGONG

Madius

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) mencadangkan agar kerajaan memansuhkan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang ditubuh semula dengan peruntukan RM85.5 Juta dalam pembentangan Belanjawan 2021.

Katanya, kerajaan sepatutnya mengutamakan keperluan mendesak negara yang kini tidak terkecuali mendepani cabaran era pandemik Covid-19.

“Semasa menolak cadangan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin, Tuanku Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah bertitah agar segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintah harus diberhentikan.

“Tuaran melihat cadangan Kerajaan memperuntukan RM85.5 juta kepada JASA iaitu sebuah agensi propaganda Kerajaan Persekutuan sebagai satu langkah yang bukan saja mengalakkan politicking tetapi satu percubaan menggunakan duit pembayar cukai untuk kegiatan berpolitik,” katanya.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2021 di Sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejajar dengan peringatan Tuanku, Tuaran meminta peruntukan RM85.5 juta tersebut dipindahkan untuk menaik taraf kemudahan sektor kesihatan, telekomunikasi, sektor pendidikan dan ekonomi.

“Tuaran juga mencadangkan supaya 50% atau RM42.25 Juta daripada peruntukan tersebut diberikan khas kepada Sabah memandangkan negeri ini yang teruk terkesan akibat Covid-19 dan berisiko menjadi Wuhan atau Milan bagi Malaysia.

“Prasarana kesihatan di Sabah jauh keterbelakang berbanding dengan negeri-negeri dan wilayah yang lain di Malaysia.

“Contohnya Sabah mempunyai bilangan katil hospital yang paling rendah, bilangan kakitangan profesional kesihatan yang sedikit dan penerima peruntukan menaik taraf kesihatan yang paling rendah,” katanya.

Tambah Madius, cadangan pemasuhan peruntukan JASA itu mendapat sokongan kuat daripada pemimpin-pemimpin masyarakat akar umbi di Sabah sepertimana yang mereka telah zahirkan dalam satu petition online.

“Kepada rakan-rakan Ahli-ahli Parlimen daripada negeri lain seperti Sarawak boleh mencadangkan bagaimana selebihnya RM42.25 juta lagi harus dibelanjakan untuk kepentingan rakyat di negeri masing-masing,” katanya.

Tamat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN