USUNG… Pasukan mencari dan menyelamat mengusung mayat mangsa kejadian tanah runtuh keluar dari lokasi operasi.
PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Sarapung, Kolopis semalam ditemui meninggal dunia pagi ini.
Ketua Polis Daerah Penampang Supt. Sammy Newton berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 6.55 petang semalam daripada Balai Bomba Penampang.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 10.40 pagi di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat. Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sammy turut menasihati orang ramai agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video berkaitan kejadian di media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
“Orang awam juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada serta mengambil langkah keselamatan terutama ketika berada di kawasan berisiko tanah runtuh atau semasa cuaca buruk bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” tambah Sammy.



