24 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Januari 24, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Mangsa Banjir Boleh Tuntut BWI Di BSN -Zahid

Ewon (duduk kiri) dan Zahid menerima penerangan daripada pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran.

KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan mengambil langkah proaktif menambah baik pengagihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih pantas dan mengelakkan ketirisan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mulai tahun ini mangsa yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) boleh menuntut bantuan tersebut melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) tanpa perlu melalui Pejabat Daerah atau Jawatankuasa Kampung (JKK/JPKKP).

“Sejak Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025, seramai 223,000 mangsa telah dipindahkan ke PPS, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang menerima perlindungan sejak tahun lalu mencecah 2.1 juta orang.

“Dengan sistem baharu ini, mereka boleh terus menuntut bantuan di BSN,” katanya dalam sidang media selepas lawatan ke Projek Tebatan Banjir (RTB) di Kawasan Lido do sini, pada Isnin.

Jelasnya, kerajaan Sabah dan Sarawak turut meminta supaya mangsa yang tidak berpindah ke PPS tetapi tetap terkesan akibat banjir turut menerima bantuan.

“NADMA kini sedang menyelaraskan mekanisme pengesahan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak akan menerima bantuan,” ujarnya lanjut.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, turut menyatakan bahawa Perdana Menteri sangat berpuas hati dengan kesiapsiagaan serta keberkesanan pengurusan bencana di seluruh negara.

Zahid turut mengucapkan penghargaan kepada NADMA, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah, serta sukarelawan yang telah memainkan peranan penting dalam operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa banjir.

Jelasanya, sebagai langkah penambahbaikan, kerajaan telah memberi kuasa penyelarasan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan lebih cepat dan teratur.

“Dalam usaha meningkatkan sistem amaran awal, NADMA akan terus bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk mengenal pasti kawasan-kawasan berisiko tinggi dan memberi makluman awal kepada penduduk.

“Kita menyeru penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa mematuhi arahan pemindahan awal bagi mengelakkan kehilangan nyawa.

“Dalam kes tanah runtuh, JMG kini sedang mengambil langkah segera untuk memperbaiki cerun dan kawasan berisiko,” ujarnya.

Mengiringi beliau Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick./Penerangan-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN