TAMBUNAN – Seramai 55 peniaga kecil berlesen di dearah ini menerima bantuan khas ‘one-off’ berjumlah RM5,000 setiap seorang dalam satu majlis penyampaian yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tambunan, baru-baru ini.
Majlis penyerahan bantuan melibatkan jumlah keseluruhan RM275,000 itu telah disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, menerusi inisiatif “Bantuan Untukmu” yang bertujuan meringankan beban kos operasi para peniaga kecil serta memperkasa semangat keusahawanan di peringkat akar umbi.
Dalam ucapannya, Dr. Jeffrey yang juga ADUN Tambunan menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian komuniti Tambunan yang kini hampir mencapai sifar kemiskinan tegar. Namun, beliau mengakui masih terdapat segelintir masyarakat yang berada dalam kelompok miskin dan memerlukan intervensi strategik.
“Kita tidak mahu ada yang tercicir daripada arus pembangunan. Bantuan ini bukan untuk mencetuskan kebergantungan, sebaliknya sebagai dorongan untuk rakyat berdikari dan membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat Tambunan agar sentiasa peka terhadap pelbagai bentuk bantuan daripada Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan, serta menggunakan peluang tersebut untuk meningkatkan taraf hidup.
Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) juga memperkukuh usaha pembangunan luar bandar menerusi peruntukan lebih RM33.59 juta bagi projek agromakanan di Sabah. Antara inisiatif utama termasuklah pemulihan sawah padi terbiar seluas 534.55 hektar, pembinaan 23 pusat pengumpulan hasil tani serta pelaksanaan projek tanaman kontan dan ternakan bersepadu.
Selain itu, program Agropreneur Muda yang menyasarkan belia berumur antara 18 hingga 45 tahun turut disarankan sebagai peluang keusahawanan baharu. Program tersebut menawarkan sokongan berbentuk geran, bantuan baja, penyediaan tanah produktif serta latihan teknikal – satu potensi besar bagi belia di Tambunan yang memiliki tanah terbiar.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey turut menasihati para penerima bantuan RM5,000 agar memanfaatkannya secara bijak seperti menambah baik struktur gerai, memperbaiki kelengkapan perniagaan atau menambah stok jualan.
“Gunakan bantuan ini sebagai batu loncatan untuk menstabilkan pendapatan harian dan meningkatkan kualiti perniagaan. Jangan hanya berfikir untuk hari ini, fikir juga untuk jangka panjang,” tambah beliau.
Majlis hari ini turut menjadi platform beliau menyeru rakyat Tambunan agar terus memberikan sokongan terhadap kepimpinannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri N.39 Tambunan, dengan keyakinan bahawa setiap bantuan yang disalurkan adalah berpaksikan data sebenar serta keperluan rakyat.
Majlis penyerahan bantuan ini disifatkan bukan sahaja sebagai simbolik, tetapi sebagai komitmen berterusan kerajaan terhadap kebajikan rakyat dan pembangunan sosioekonomi luar bandar.
— Oleh Gerry Lewis



