ADVERTISEMENTspot_img

Majlis Pecah Tanah Bandar Baru Paginatan oleh YAB KM: Abidin

Abidin dan lain-lain telah mengadakan lawatan ke Kg Lungkidau bagi meninjau kerja-kerja pembinaan semula jambatan gantung


RANAU: Majlis Pecah Tanah Bandar Baru Paginatan akan disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Hj Noor di Perkarangan Tugu Nunuk Ragang pada 12 Ogos ini.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, perkara itu merupakan suatu berita baik bagi penduduk Ranau, khususnya warga Paginatan yang sudah lama menantikan perkara itu menjadi realiti.


“Saya ingin mengajak seluruh rakyat Paginatan datang beramai ramai untuk menyaksikan hari yang cukup bermakna dan bersejarah ini.


“Kita akan sama-sama memperlihatkan kebanggaan kita sebagai rakyat Paginatan kerana kini impian kita untuk mendapat Bandar Baru telah direalisasikan oleh Kerajaan,” katanya.


Menurut beliau, dengan pelancaran Bandar Baru Paginatan ini, pembinaan Kiosk dan Dewan Terbuka di tapak Bandar Baru Paginatan akan dimulakan.


“Ia adalah untuk digunakan oleh orang kampung berjual beli sementara menunggu bangunan- bangunan kedai dan bangunan kerajaan dibina secara sepenuhnya,” katanya.


Abidin yang juga Adun Paginatan berkata demikian semasa Majlis Sambutan Hari Keluarga PIBG SK Paginatan yang diadakan di Dewan Puncak Jaya SK Paginatan di sini baru-baru ini.


Beliau berterima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan merasmikan Majlis Hari Keluarga PIBG SK Paginatan itu.


“Adalah penting untuk kita mengadakan Hari Keluarga seperti ini kerana ia adalah platform yang amat baik bagi merapatkan hubungan silaturahim diantara ibubapa dan guru-guru demi kecemerlangan sekolah.


“Saranan saya kepada ibunda untuk terus menyokong aktiviti-aktiviti sekolah dan disebaliknya juga guru-guru harus memberi kerjasama kepada ibubapa dalam melaksanakan kegiatan PIBG.


“Murid-murid juga harus memainkan peranan untuk mengiktiraf jasa guru-guru yang mendidik mereka dan juga ibubapa yang menjaga mereka,” kata beliau.


Mengenai permohonan PIBG untuk memasang papantanda di jalan masuk ke SK Paginatan, Abidin memberitahu bahawa pihaknya akan ajukan permohonan tersebut kepada pihak JKR untuk tindakan sewajarnya.


“Untuk makluman penduduk Kg. Paginatan, jambatan gantung yang menghubungi Sekolah dengan Klinik Kesihatan Paginatan dibaiki hanya untuk kegunaan sementara.


“Kita akan usahakan supaya pembinaan baru jambatan gantung tersebut dapat dibuat dalam masa terdekat.


“Sementara itu, untuk makluman semya kerja-kerja pembinaan jambatan gantung Lungkidau telah dimulakan dan dijangka akan siap pada tahun ini juga,” katanya.


Dalam pada itu, YDP PIBG SK Paginatan, Sonny Jaimin berterima kasih atas kehadiran YB Datuk Abidin, dan berkata ianya satu sejarah bagi Warga SK Paginatan kerana YB Datuk sempat bersama sama dalam majlis Hari Keluarga PIBG SK Paginatan.


“SK Paginatan adalah antara sekolah yang tertua di Daerah Ranau. Oleh sebab kawasan sekolah yang amat terhad, bangunan sekolah juga adalah terhad.


“Kita mengharapkan, dengan ujudnya Bandar Baru Paginatan, SK Paginatan akan mendapat tapak baru supaya lebih banyak bangunan sekolah dapat didirikan bagi menampung jumlah murid yang kian meningkat setiap tahun.


“Pada masa ini, SK Paginatan mempunyai murid seramai 130 orang dan mempunyai tenaga pengajar seramai 19 orang,” katanya.


Sonny turut merakamkan setinggi tinggi penghargaan atas keprihatinan YB Datuk membiayai kos pembaikan jambatan gantung menghubungi SK Paginatan dan Klinik Kesihatan Paginatan.


Ini, katanya, adalah laluan utama murid sekolah pergi dan balik daripada kampung ke sekolah.
“Diharap kehadiran Yb Datuk dalam majlis Hari Keluarga PIBG SK Paginatan ini bukan lah yang pertama dan terakhir tetapi YB Datuk akan terus bersama sama kita dalam majlis seperti ini di masa masa akan datang sebagai Wakil Rakyat kita,” katanya.


Penolong Kanan HEM SK Paginatan, Sylvia Abel yang mewakili Guru Besar, Abd Wahid Bin Samin, merakamkan jutaan terima kasih kepada YB Datuk Abidin Madingkir kerana sudi turun padang melawat warga SK Paginatan.


“Ini merupakan hari yang istimewa dan bersejarah bagi warga SK Paginatan kerana julung kalinya seorang Wakil Rakyat datang mengujungi kami di SK Paginatan.


“Tahniah kepada YB Datuk Abidin Madingkir kerana menjadi Wakil Rakyat yang sentiasa dekat di hati rakyat.


“Ia sudah tentunya akan menjadi sumber inspirasi kepada murid-murid SK Paginatan kerana dapat bertemu dengan pemimpin yang amat dikagumi dan mempunyai latarbelakang kepimpinan yang cemerlang bukan sahaja sebagai penjawat awam tetapi juga sebagai Wakil Rakyat,” katanya.


Bagi pihak Warga SK Paginatan, Sylvia merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas bantuan Datuk Abidin membaiki jambatan gantung menghubungi SK Paginatan dan Klinik Paginatan.
“Terima kasih juga atas sumbangan Datuk memberi mesin sangkut untuk kegunaan penduduk kampung, terutama murid sekolah.


“Sekurang kurangnya ia dapat menyelesaikan masalah murid-murid menyeberangi Sungai Liwagu dari Kg. Lungkidau, sementara menanti penyiapan jambatan gantung Lungkidau yang sedang dalam pembinaan,” katanya.


Selepas majlis itu, Abidin dan lain-lain telah mengadakan lawatan ke Kg Lungkidau bagi meninjau kerja-kerja pembinaan semula jambatan gantung yang sedang dijalankan.


“Semoga kerja-kerja pembinaan jambatan ini dipermudahkan dan dapat disiapkan mengikut jadual demi keselesaan dan keselamatan penduduk kampung,” katanya.


Turut hadir di majlis itu, PPM Hishamudin Harun, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, KAN Jaimin Jeffrey, Pengerusi JKKK Kg. Paginatan Camilus Vincent, Ketua Kampung Paginatan Pius Kurup, danb lain-lain.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN